Masalah pembelajaran secara amnya adalah kesukaran kanak-kanak untuk belajar. Dalam bahasa Inggeris istilah seperti "learning disability" dan "learning disorder" digunapakai. Walaupun istilah ini digunakan silih berganti tetapi maksudnya berbeza." Learning disability" merujuk kepada masalah pembelajaran spesifik dalam akademik, tetapi ianya tidak sampai ke tahap diagnosis rasmi. "Learning disorder" pula adalah satu diagnosis di mana individu ini memenuhi kriteria tertentu seperti yang dinilai oleh pakar psikologi klinikal. Perbezaan antara keduanya adalah tahap, kekerapan dan keterukan tanda dan gejala. Istilah "learning disability" merujuk kepada masalah perkembangan akademik yang spesifik seperti pertuturan dan bahasa. Antaranya adalah masalah membaca (disleksia), masalah matematik (diskalkulia) dan masalah penulisan (disgrafia).

Pun begitu, penerangan di atas hanyalah penting bagi mereka yang ingin mengetahui lebih terperinci tentang masalah pembelajaran. Untuk pengetahuan am cukup sekadar kita dapat mengesan sesuatu yang "tidak kena" dengan pelajar atau anak-anak kita. Mungkin beliau tidak dapat mengeja dengan baik, atau kalau boleh mengeja pun tidak dapat mencantumkan apa yang dieja sebagai perktaan yang bermakna, atau mungkin boleh membaca tetapi tidak memahami apa yang dibaca, justeru jika ditanya soalan berdasarkan bahan bacaan mereka tidak dapat mencari apakah jawapannya. Semua ini disebabkan oleh kegagalan otak untuk menerima dan memproses maklumat. Lebih spesifik lagi proses yang terlibat adalah proses penerimaan maklumat, mengintegrasikan maklumat, penyimpanan maklumat dan pemprosesan keluar maklumat.Masalah pembelajaan ini akan dialami oleh seseorang individu itu sepanjang hayatnya, tetapi dengan teknologi moden seperti komputer and alat audio visual mungkin dapat membantu pelajar tersebut mencapai kemajuan yang lebih baik.

Teringat saya kepada salah seorang klien saya yang berumur 7 tahun ketika tahun 2007.  Kakak pelajar ini telah membawanya ke klinik berjumpa saya. Beliau dilahirkan cukup bulan, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tetapi mempunyai susuk badan yang jauh lebih kecil dari rakan-rakan sebaya dengannya. Beliau begitu bijak berkata-kata dan kelihatan agak aktif.  Di sekolah beliau kerap keluar bilik darjah dan pergi ke tandas. Ibunya terpaksa menyediakan 4 pasang kasut kerana setiap hari pasti kasut beliau basah bila pulang dari sekolah.

Pasukan kami melakukan lawatan ke sekolah  (doktor, jururawat, jurupulih carakerja dan pegawai kebajikan perubatan hospital USM). Kami memerhatikan tingkahlaku pelajar ini di dalam kelas. Beliau ditempatkan di sebelah meja guru kelas untuk memastikan beliau menumpukan perhatian pada pelajaran. Pun begitu dalam masa 20 minit kami di situ, beliau keluar kelas sebanyak 3 kali untuk ke tandas dan bila masuk semula ke dalam kelas dalam keadaan basah! Beliau juga tidak duduk diam dalam kelas, sentiasa bergerak dan mengganggu rakan sekelasnya.

Perbincangan bersama guru kelas diadakan untuk menerangkan mengapa pelajar ini sukar belajar. Kami juga bertemu dengan guru besar sekolah untuk memastikan pihak pengurusan sekolah mengetahui keadaan pelajar ini. Pada masa yang sama kami merujukkan beliau ke unit jurupulih carakerja untuk penilaian yang lebih teliti tentang masalah pembelajaran yang beliau alami. Teknik merekod tingkah laku dalam "Carta Bintang" kami ajarkan kepada guru kelas untuk mengurangkan kekerapan pelajar ini keluar kelas.

Saya membuat diagnosis attention deficit hyperactive disorder (ADHD) dan ubat dimulakan.  Alhamdulillah beliau menunjukkan respon yang memberangsangkan, lebih fokus, dan kurang kekerapan keluar bilik darjah. Pelajar ini menghadiri sesi di unit jurupulih carakerja seperti dijadualkan tetapi tidak banyak perubahan dari segi keupayaan pembelajaran. Tingkahlaku beliau direkodkan menggunakan "carta bintang" dan setiap kali sesi klinik saya akan menghadiahkan beliau dengan sticker kartun yang menjadi kegemaran beliau bila terdapat pengurangan kekerapan kelaur kelas di sekolah. Pun begitu, beliau tidak dapat mengikuti pelajaran seperti pelajar yang lain, kebolehan membaca, mengira amatlah minimum. Hanya setelah beliau dalam darjah 3 beliau mampu menulis nama penuh beliau itupun kadangkala masih salah.

Beliau juga didaftarkan sebagai "Orang Kurang Upaya" (OKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Berikut adalah definisi OKU masalah pembelajaran:

Masalah Pembelajaran bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah Lewat Perkembangan Global, Sindrom Down dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti autisme (autistic spectrum disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti (dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia).


Gambar-gambar dibawah adalah hasil kerja pelajar yang saya paparkan kisahnya. Lihatlah bagaimana keputusan peeriksaan beliau...

Antara latihan yang diberikan kepada pelajar 

Gagal untuk menulis tanpa bantuan guru!

Markah peperiksaan...menghampakan ibu bapa jugga guru!

Berdasarkan paparan kisah di atas, saya berharap guru-guru juga mendapat sedikit sebanyak idea bahawa pelajar mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza-beza....dan jangan kecewa andai sebahagian pelajar tidak mampu mengikuti pembelajaran seperti pelajar-pelajar yang lain. Perhatikan mereka dan kiranya perlu pelajar ini boleh dirujukkan kepada kami di Unit Kanak-kanak dan Remaja Hospital USM, Kubang Kerian (bagi negeri Kelantan).

Menangani masalah pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran bukannya mudah. Apatah lagi sekiranya pelajar tersebut mempunyai masalah perubatan yang lain seperti Down Syndrom, ADHD, masalah kecacatan fizikal atau penyakit yang lain. Dalam keadaan seperti ini masalah pembelajaran hanyalah salah satu daripada manifestasi penyakit yang beliau alami. Contohnya kanak-kanak cacat fizikal, kadang-kadang mereka ini mepunyai harga diri yang rendah, malu dgn kawan-kawan atas kecacatan diri mereka, tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran kerana diejek ataupun terasa diejek. Perlu diingat pelajar yang mempunyai kecacatan fizikal kebanyakannya mempunyai IQ yang normal. Justeru itu pengambilan sejarah yang lengkap adalah amat penting untuk mengelakkan diagnosis yang tidak tepat.

Perlu diambil perhatian, pendaftaran sebagai orang kurang upaya bukanlah pilihan utama, usaha perlu dilakukan terlebih dahulu dan sekiranya terbukti penyebab masalah pembelajaran ini sememangnya adalah primer, maka barulah mereka didaftarkan sebagai OKU. Ini penting untuk mengelakkan stigma kepada pelajar-pelajar ini. Tidak dapat dinafikan terdapat beberapa kelebihan sekiranya mereka didaftarkan sebagai OKU seperti masa yang lebih dalam peperiksaan dan bantuan kewangan.

Harapan saya dengan paparan ini, ibu bapa dan guru-guru akan lebih sensitif kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam pembelajaran dan terfikir "apakah mereka ini dalam golongan yang mempunyai masalah pembelajaran?"...

Saya akan paparkan kisah berlainan dalam entri yang akan datang. Semoga ianya bermanfaat in sha Allah.

Post a Comment

  1. salam. puan, anak perempuan sy mempunyai masalah pembelajaran. dia berumur 6thn. masih gagal mengenal huruf & nombor. sukar menghafal doa dan lagu-lagu yg diajar disekolah. boleh menulis nama sendiri walau kadang-kadang salah. adakah anak saya boleh dikategorikn sebagai ADHD atau disleksia? dia juga kurang tumpuan dalam kelas dan sukar buat kerja sekolah tanpa bantuan. harap puan dpt bantu sy. - Yana 019-2575901 pink_lyana@yahoo.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam puan, maaf lambat reply, saya tak perasan mesej ni. anak puan perlukan penialaian lanjut. sejarah setiap anak berbeza2, kadang2 symptoms bertindan. sekiranya puan duduk berhampiran hospital boleh bertanya di mana boleh dapatkan penilaian tersebut. Bagi yang tinggal di Kuala Lumpur hampir semua hospital mempunyai perkhidmatan ini seperti HUKM, Hospital Universti dll. Tapi kiranya puan duduk di kawasan yang jauh dari bandar mungkin agak sular. Pun begitu puan boleh email saya masalah anak puan di drnorzila@yahoo.com, in shaAllah ada kesempatan saya akan balas email puan.

      Delete

 
Top