Adik perempuan saya seorang guru, beliau telah mengajar di beberapa buah sekolah menengah di Selangor dan Pulau Pinang. Beliau juga seorang guru disiplin yang sangat garang! Saya pernah bertanya kepada beliau tentang pengalaman beliau ketika mula-mula mengajar, terutamanya ketika berhadapan dengan pelajar-pelajar yang nakal dan lemah dalam pelajaran.

Beliau secara jujur menjawab

"Memang tak faham kenapa sebahagian pelajar-pelajar sangat lemah dalam pembelajaran. Rasa geram sangat bila kita ajar dia tak faham-faham, kadang-kadang kecewa pulak!"

Sebenarnya rungutan seperti itu bukan sahaja dari adik saya, malah ramai lagi guru-guru yang mempunyai pengalaman yang sama. Tidak dinafikan berbagai-bagai sungutan akan terkeluar dari guru-guru ini samada dilahirkan secara pertuturan atau mengumpat dalam hati!

Saya pasti ini sebahagian daripadanya:

"Bebal sungguh budak ni, buat lambat kerja aku saja!"

"Kenapalah awak ni lembab sangat, berapa kali dah saya ajar awak tak boleh nak faham jugak!"

"Emak bapak awak tak ajar awak kat rumah ke?"

"Daripada mengajar awak lebih baik saya ajar budak yang lebih pandai, kalau saya ajar awak sepanjang hari pun . awak tak pandai-pandai mengira...buang masa saya je"

"Lebih baik awak masuk darjah satu balik lah kalau macam ni cara awak mengira..."

"Saya ingat baik awak masuk kelas pendidikan khas je lah..."

"pegi balik tolong bapak awak jaga lembu lagi baik!"

Luahan dan rungutan guru-guru ini amat berasas sebenarnya. Berapa ramai guru-guru di aliran perdana yang yakin untuk mengajar pelajar-pelajar yang lemah dalam pembelajaran? Pengalaman saya semasa melakukan lawatan ke sekolah untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pelajar-pelajar yang dirujuk ke unit kanak-kanak  dan remaja, hospital USM Kubang Kerian amat berharga dan memberi gambaran yang jelas tentang betapa tertekannya guru-guru di sekolah. Disamping tugas harian pengajaran subjek-subjek yang telah ditetapkan, kerja-kerja pentadbiran, ko-kurikulum, sukan, mesyurat, kursus dalam perkhidmatan, persatuan dan macam-macam lagi terpaksa dilaksanakan dengan penuh tanggung jawab. Bagaimana guru-guru ini boleh bersabar dengan pelaja-pelajar yang nakal dan lemah dalam pembelajaran. Bukan semua tetapi sebahangian pelajar-pelajar yang nakal adalah mereka yang lemah dalam pembelajaran kerana mereka tidak faham apa yang diajarkan oleh guru, maka mereka melakukan sesuatu yang lebih "menyeronokkan" dan ianya dilihat sebagai "nakal atau mengganggu proses pengajaran pembelajaran di dalam kelas".

Teringat saya kata-kata seorang guru kepada saya

"saya ingatkan saya yang tak pandai mengajar doktor...macam-macam cara dan teknik saya buat, semuanya tak berkesan, saya betul-betul kecewa! Dia pelajar yang baik dan rajin tapi amat lemah dalam semua mata pelajaran"

dan beliau lebih terkejut bila saya menjawab

"Cikgu...jangan rasa kecewa. Cikgu telah cuba yang terbaik dan saya pasti cikgu adalah  seorang yang amat dedikasi dalam memastikan semua anak murid cikgu faham apa yang cikgu ajarkan. Kenapa pelajar ini tidak faham bukan sebab cikgu, tapi sebab dia mengalami masalah pembelajaran atau "learning disability"....ramai lagi pelajar yang mengalami masalah seperti ini"

Guru tersebut ternganga dan amat terkejut dengan kenyataan saya...selepas beberapa ketika beliau mengulangi lagi soalan yang sama kepada saya

"Jadi, bukanlah saya yang tak pandai mengajar ya doktor..?"

Saya mengangguk mengiakan.. beliau kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang saya perkatakan, tetapi melihat saya menganggukkan kepala berkali-kali ....kelihatan riak wajah beliau mula bertukar dari kerisauan yang nyata kepada senyuman lega.....

"Cikgu, ramai antara pelajar-pelajar yang menglami masalah pembelajaran adalah klien-klien saya di klinik...in sha Allah kita akan bantu pelajar ini untuk menjadi seorang yang berjaya ...mungkin bukan dalam bidang akademik tetapi dalam bidang yang beliau minat dan bukan target untuk dapat 5A dalam peperiksaan!" 


Bagaimana kita boleh membantu pelajar-pelajar ini? Ikuti sambungan kisah ini di entri akan datang. In sha Allah saya akan membincangkan apakah Learning Disability dan bagaimana kita boleh membantu mereka. Semoga ilmu hari ini menjadi sedekah saya kepada mereka yang tercari-cari....amin






Post a Comment

 
Top