Saya anak kelahiran tahun 70an. Ketika saya kecil permainan saya adalah apa-apa sahaja barang yang saya temui di sekitar rumah. Rumah saya jauh terpencil di dalam kampong yang terpaksa melewati kebun kopi dan kelapa sawit yang gelap sejauh hampir 200meter dari jalan utama kampung Sungai Lang, Banting.  Kini sudah ada laluan bertar yang lurus dinamakan Lorong Idaman.

Tiada jalan bertar ketika itu untuk laluan kecil. Jalan masuk ke rumah saya adalah jalan tanah yang terbentuk hasil laluan berkali-kali basikal dan motosikal. Kereta memang tak boleh masuk. Setiap lot tanah dipisahkan oleh parit kecil. Maka untuk menyambungkan jalan ke rumah saya, setiap parit akan disambungkan oleh jambatan kayu kecil. 

Bila hujan parit ini akan penuh dengan air. Beberapa kali saya jatuh ke dalam parit semasa menaiki basikal melalui jambatan yang hanya 2 atau 3 keping papan memanjang,  ada juga jambatan yang lebih sempurna dibuat dari papan melintang dan rasa lebih selamat.

Dari jalan utama lot pertama adalah kebun kelapa sawit yang telah berbuah. Di bawah pokok kelapa sawit ini dipenuhi pokok keladi merah dan putih yang hidup liar diantara longgokan pelepah-pelepah kepala sawit yang dikumpulkan setiap kali selepas proses memetik buah kelapa sawit. 

Redup dan agak gelap bila melalui lot ini. Saya masih teringat kadang-kadang suasana di kebun kelapa sawit ini seperti pesta ketika musim menuai sawit. Ini kerana ramai orang-orang perempuan surirumah dan anak-anak dara mengambil peluang membuat penyapu dari lidi daun kelapa sawit. Lidinya lebih halus walaupun lebih pendek dari lidi pokok kelapa biasa. 

Kami akan membalut jari telunjuk kanan dengan kain perca untuk mengelakkan jari tercalar dan melekat warna hijau kerana melurut lidi daun kelapa. Biasanya kami guna pisau yang agak tumpul …pisau lipat untuk meraut pensil terlalu tajam dan menyebabkan lidi terputus di tengah-tengah. Meriah sungguh suasana ketika itu. kami duduk beberapa kelompok. Riuh bercerita. Satu ikat penyapu lidi baru berharga 30sen atau 50 sen.   

Saya tidak pernah merasa permainan moden semasa saya kecil sementelah emak dan abah orang susah. Walaupun abah ada kedai runcit ianya sekadar dapat menyelesaikan perbelanjaan seharian. Kami hidup sederhana, boleh lah nak makan ikan setiap hari tak ada masalah, tapi untuk bermewah tidak lah.

Masih teringat uncang duit syiling abah berwarna kelabu yang lusuh. Setiap maghrib bila abah sampai ke rumah, abah akan membawa balik uncang duit syilling ini. diterangi lampu gaselin samar-samar kami adik beradik suka sangat bila abah balik. Duit syilling tu sebahagiannya emak masuk dalam tabung tin minyak tanah (sama saiz dengan tin biskut di kedai runcit). Masih juga teringat mengira hasil tabungan duit perniagaan abah ni, bau minyak tanah masih melekat di syilling yang kami kira. Owh rindunya suasana itu.

Keesokan pagi semasa menyiapkan kami ke sekolah abah akan membuka uncang duit syilling ini dan memberikan saya duit 15 sen untuk belanja sekolah. Abang pulak dapat 50 sen sebab dia  bersekolah di Bandar Banting iaitu Sekolah Rendah Sri Langat. 

Abang naik van untuk ke sekolah. Ianya milik ketua kampong (Wak Sapuan) yang terkenal dengan panggil “Wak Puan”. Anak bungsu Wak Puan ni kawan baik saya namanya Zunainah, panggilan biasa Ina. 

Ke hulu ke hilir saya dan Ina, masuk parit, masuk belukar di depan kedai abah (sekarang dah jadi Pusat Angkasa Negara) semua saya lalui. Tanah belukar tu tanah gambut, ada banyak pokok meranti liar lepas terbakar, bila hujan air parit melimpah ke tebing kadang-kadang jumpa ikan mati di atas darat. Tercucuk ranting kayu, calar balar kaki. Itu semua biasa bagi saya.

Abah hantar saya ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Lang dengan motosikal pagi-pagi. Sejuk, masa tu waktu di Malaysia 30 minit lebih lewat, jadi kalau sekarang jam 7.30pagi, dulu sebenarnya dah pukul 8 pagi (rasanyalah sebelum diselaraskan dengan waktu di sabah dan Sarawak). Saya pakai Pinafor biru, setokin pun kadang-kadang tinggi sebelah dan longgar. 

Rambut saya lurus, tapi zaman tu orang perempuan suka sangat keriting rambut, jadi emak pun keriting kan juga rambut saya… "zaman jahiliah" saya kata. Masih teringat bau ubat kerinting rambut di Kedai Karen Ayu di pekan Banting tu. 

Saya dah darjah 5 baru sekolah membenarkan memakai baju kurung. Masa tu sekolah agama tak wajib lagi. Masih teringat betapa saya nak sangat sekolah petang di Masjid Kampung Sungai Lang Tengah. Baju putih, kain hijau tua nampak cantik sangat. Tapi abah tak benarkan. 

Saya sangat aktif main sukan sampai hitam legam. Saya main semua permainan seperti badminton, bola baling dan bola jarring. Saya mewakili sekolah walaupun tak lah terror mana. 

Bila cuti sekolah, saya bermain pondok-pondok di bawah pokok kopi. Saya mencari botol kosong, tempurung kelapa untuk dijadikan mangkuk, pinggan pecah, tin-tin kosong, memotong daun nanas untuk dijadikan sudu, mengambil pokok duit-duit sebagai wang siling, dan daun-daun pokok bunga dan daun kopi sebagai duit kertas mengikut saiz. 

Tanah kasar kami jadikan garam, tanah halus di jadikan tepung kami atur tinggi macam pyramid longgokkan tanah-tanah tu menjadi seolah-olah kedai menjual barang runcit. Saya meniru susun atur kedai runcit abah.

Saya berkeliaran mencari biji getah, menggali lubang di bawah rumah untuk dijadikan lubang bermain congkak. Jumpa tin susu, abang saya tolong tebuk, cari tali plastik masukkan dalam lubang tin susu dan ikatkan dengan paku atau kayu agar tali boleh dipegang. Kami jadikan terompah. Kami berlumba lari mengunakan permainan ini, bila terjatuh saya bangun semula, berlari mengejar kawan-kawan. 

Sehabis kawan-kawan pulang saya memperbaiki kemahiran menyeimbangkan badan agar bila esok nak main semula, saya dah boleh berjalan dengan lagi laju. Saya mempunyai semangat bersaing.

Saya anak kedua, abang saya 4 tahun lebih tua dari saya. Kerja kami memang bergaduh.  Ada saja yang kami nak gaduhkan. Dia ejek saya macam-macam, menangis lah saya, saya memang cukup tak suka dengan abang saya ni. Mungkin sebab dia selalu mengejek saya. 

Dia selalu suruh saya sebut perkataan “LAGI” laju laju, bila saya sebut laju-laju dia gelakkan saya dan kata saya sebut “ILA GILA”. Ila adalah nama panggilan saya di rumah. Kawan-kawan di kampong pun panggil Ila juga. Selain penduduk kampong saya saya lebih selesa dipanggil Zila.

Manalah saya tak mengamuk dan hangin dengan abang saya ni, asyik lah menyakat saya. Memang geram tahap maksimum lah masa tu. Pantang ada yang tak kena je gaduh. Perang mulut!. Hahahaha… manisnya zaman masa kecik dulu. 

Sekarang dia seorang arkitek, seorang ayah kepada 4 orang anak, seorang imam solat, dia jugalah yang memandikan, mengimamkan solat jenazah dan masuk ke dalam kubur menyambut jenazah abah. Alhamdulllah, satu-satunya abang saya.

Macam kanak-kanak lelaki yang lain, abang saya lebih suka melastik, main dalam parit, berbasikal atau “bersampan” dalam  main kolam di rumah jiran. Emak tak marah pun kami main parit, bila ada pokok kelapa tumbang, kami main di akar pokok kelapa, melihat air di pangal pokok kelapa. Selang seminggu dua kami  berebut-rebut mencari ulat di batang kelapa … bila teringat geli pulak. 

Kami meredah semak pohon senduduk yang berbunga ungu, daunnya kasar berbulu, ada biji berwarna ungu juga dila dipecahkan memang tak hilang warnanya melekat ditangan. Kami lekatkan getah nangka di hujung lidi kelapa, pacakkan di tepi parit menunggu pepatung hinggap dan melekat di getah nangka.

Abang pulak suka mencari mata air di tepi parit, tak tau macamana dia boleh cari spot yang betul tapi habis berselut main parit. Masam baunya, masa tu tak pernah terfikir takutkan ular atau benda berbisa, meraduk air dalam parit perkara biasa bagi saya. Main sorok-sorok pun bawah jambatan ni, tak pernah terfikir akan lemas atau luka. Kami survive. 

Bila berkunjung ke rumah emak sedara di bandar kami jakun dengan permainan moden, ada piano, macam-macam ada dalam stor rumah makcik. Seorang makcik saya duduk di kuarters Telekom di depan kedai abah tu, saya memang sangat suka melihat rumah batu model kuarters Telekom tu, dihiasi pokok-pokok pine di sekitar rumah. Memang sangat cantik. Dalam hati menyimpan hasrat nak duduk rumah batu yang cantik macam tu.

Ada kalanya kawan-kawan sebaya datang bermain. kami buat “banyak rumah dalam satu kampong” (di setiap bawah pokok kopi). Kami main jual-jual. Botol kami balut jadi “baby”.

Kami sapu bersih daun-daun kopi dan boleh baring-baring di bawah pokok kopi. Bila musim pokok kopi berbunga, cantik sangat bunganya putih, malam sebelum bunga kopi ni mekar akan terasa sangat sejuk, saya pun tak pasti apa kaitannya. Bila bunga-bunga kopi ini gugur nampak seperti  musim luruh di luar negara.

Rumah tempat tinggal kami sangat sederhana almaklum emak anak tukang tempe, arwah nenek memang pembuat tempe terkenal, justeru itu nenek tu saya panggil nenek tempe. Dia datang dari tanah Jawa. Abah pula berketurunan banjar dari Banjarmasin Kalimantan. Kalau orang tanya keturunan saya, saya sepatutnya jawab “orang Banjar” sebab abah orang banjar, tapi orang akan nampak saya sebagai orang Jawa.

Ada satu permaianan yang saya suka sangat main, sebab menguji focus dan kecekapan menangkap iaitu permaian “konda kondi” kat kampung saya panggil main “cotek”. Semua permainan kita di zaman sebelum wujudnya gajet sangat merangsang semua sistem sensori dan pergerakan. Tapi kini semua anak-anak tidak terkecuali dari bermain gajet dan mempunyai  kemahiran motor yang berbeza dengan kita.

Zaman saya nak tulis surat kena pos, cari stem di pejabat pos, perkhabaran jauh memang lambat diterima. Kini semuanya dihujung jari serta merta semua maklumat diperolehi. Adakah mereka lebih bijak dari kita? Ya dan tidak.

Senaraikanlah jawapan ya dan tidak anda. Timbang-timbangkan baik dan buruknya gajet. Apatah lagi mendedahkan gajet kepada anak yang sangat kecil.

Tidak dinafikan bahawa teknologi moden membawa banyak pembaharuan dan kemajuan dalam dunia pendidikan dan pembelajaran kanak-kanak. Maklumat senang dicapai melalui applikasi yang disediakan dalam tablet dan telefon pintar. Permainan yang merangsang minda dan kognitif juga pelbagai bentuk. Namun disebalik tekologi tersebut ianya menyebabkan seseorang kanak-kanak tidak aktif dari segi fizikal.

Saya mungkin agak “kolot” dalam memperkatakan peranan gajet dan teknologi dalam pendidikan ini. Namun bila menimbang semula kesan baik buruk di masa hadapan saya menyimpulkan bahawa mendedahkan anak-anak yang terlalu kecil dengan gajet membawa lebih banyak mudharat. Tidak dinafikan anak-anak remaja yang minda mereka agak lebih matang, mampu menilai penggunaan gajet dengan cara yang lebih baik. Namun pantauan dari ibu bapa sangatlah penting.

Kalau dulu TV dan video game adalah gajet utama, kini tablet dan smart phone telah menggantikan TV  sebagai alat untuk menarik perhatian kanak-kanak. Apakah teknologi sebegini perlu kepada anak kecil?
menanam sayur mengajar anak tentang sains

biarkan mereka bermain tanah rasakan tekstur tanah 

nak beriadah... main layang-layang pun bagus juga


Teknologi memang perlu dalam kehidupan, tetapi kita perlu memastikan kita boleh mengawal teknologi dan bukan teknologi yang mengawal kita sehingga kehidupan kita menjadi kacau bilau.

Post a Comment

 
Top