Semalam saya melakukan lawatan ke salah satu sekolah untuk penyiasatan sosial salah seorang pesakit saya yang mengalami kemurungan. Dia seorang pelajar yang cerdik, pengawas sekolah, bertanggungjawab dan tiada masalah tingkahlaku. namun kerana perceraian kedua ibu bapanya dia mendapat kemurungan yang teruk dan memerlukan rawatan ubat-ubatan.

Gejala yang ditunjukkan memang sudah di tahap yang teruk ketika dia mula-mula berjumpa kami. Dia tidak mahu ke sekolah, mengurung diri dalam rumah, menangis, tidak mahu bercakap atau berjumpa kawan-kawan, tidurnya terganggu, makan juga dipaksa. Semasa penilaian dia mengakui mendengar suara-suara halus yang mengutuk dirinya. suara ini jelas kedengaran. Dia menjadi lebih tertekan dengan kutukan suara halus ini dan kadangkala dilihat bercakap-cakap seorang diri.

Asbab penyakit yang dialami oleh pelajar ini dijelaskan kepada ibu dan pelajar ini. Kepentingan mengambil ubat yang diberikan secara berterusan juga ditekankan di samping cuba mencari penyelesaian dan cara menangani kehidupan baru tanpa kedua-ibu bapa yang tinggal sebumbung.

Setelah beberapa kali rawatan ulangan, pelajar ini menunjukkan peningkatan dari segi mood namun masih tidak boleh meneruskan pengajian di sekolah. Tahun lepas hampir setengah tahun dia tidak hadir ke sekolah dan terpaksa menarik diri dari peperiksaan PT3. Tahun ini, dia datang ke sekolah tidak sampai pun setengah hari pada hari pertama persekolahan dibuka. Mengikut guru kaunselornya, dia dibawa berjumpa rakan-rakan yang rapat dengannya namun dia tidak mahu bercakap langsung dengan mereka.

"Nak buat apa saya ke sekolah cikgu, tak ada guna pun" katanya kepada guru kaunselor. Dia meminta izin untuk pulang ke rumah dan terus tidak hadir sehingga hari ini setelah dua minggu persekolahan bermula.

Saya agak bimbang dengan penerangan cikgu ini, takut-takut pelajar ini turut merasakan tiada masa hadapan dan rasa sudah tidak perlu hidup. Namun ianya tidak dapat dipastikan. Kami membicarakan tentang bagaimana caranya kita semua boleh membantu pelajar ini. Memang tidak ada cara yang mudah, ubat-ubatan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah pelajar ini. Mungkin "mood" nya akan sedikit naik, mungkin tidurnya agak lena, tetapi selagi masalah sosial ini tidak diselesaikan maka selagi itulah kemurungan akan menemai pelajar ini. Menurut adiknya yang dalam tingkatan 2, pelajar ini hanya duduk di dalam bilik di dalam rumahnya sahaja dengan ditemani oleh ibunya.

Pelajar ini perlu didekati lagi untuk dibantu dalam menangani situasi kehidupannya yang sukar. Perceraian disebabkan bapa yang selalu berjudi. Ibulah yang bekerja seharian. Inilah sebabnya ibu tidak "wujud" dalam kehidupan anak-anak, pergi kerja seawal jam 10 pagi dan balik kerja pada jam 10 malam.

Maka ayahnya yang berada di rumah yang melayan anak-anak. namun perangai ayah yang suka berjudi menyebabkan ibu meminta cerai. Maka bila bercerai anak-anak terpisah dari ayah mereka yang telah tinggal berasingan, ibu pula belum boleh memenangi hati si anak menyebabkan anak tertekan dan mengalami kemurungan.

Pelajarannya terganggu, sehingga ke tahap mendengar suara-suara halus yang mengutuk dan menyebabkan pelajar ini semakin serabut. Syukur dia mempunyai ibu saudara yang prihatin dan membawa bertemu kami di Klinik.

Pengurusan pelajar ini tidak selesai di sini, kami yang memang terkenal dengan "busy body" dan "suka menjaga tepi kain orang" ini terpaksa mencari lebih banyak maklumat untuk mebantu pelajar ini. Kami ke sekolah bertemu guru untuk mendapatkan gambaran sebenar pelajar ini  di sekolah. Kami perlukan guru-guru sebagai "co-therapist" untuk membantu dalam pengurusan pelajar ini. Besar sungguh tugas guru-guru ini di samping tugas seharian mendidik anak-anak murid mereka.

Memang kehadiran pakar psikiatri ke sekolah selalunya menjadi tanda tanya kepada guru-guru. Ia adalah suatu yang sangat jarang berlaku dan dikebanyakan negeri di Malaysia besar kemungkinan tidak pernah pakar psikiatri turun ke sekolah kecuali jika ada kes yang benar-benar memerlukan lawatan ke sekolah. Namun inilah rutin mingguan kami di Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja Hospital USM pada setiap hari Rabu.

"Beyond hospital boundaries" pengurusan masalah sosial adalah faktor yang paling penting untuk dibantu dalam kes-kes seperti ini di mana pesakit tidak mampu melakukannya sendirian. Jaringan kerjasama dengan guru-guru dan ketua kampung serta NGO yang lain sangat-sangat diperlukan untuk membantu klien-klien dan pesakit-pesakit psikiatri.

Saya berharap kedua ibu bapa pelajar ini akan dapat berjumpa dengan kami untuk membincangkan "the best setting" selepas mereka bercerai demi kebaikan pelajar ini. Ini akan dilakukan pada temujanji yang akan datang. Berapa lama pelajar ini memerlukan rawatan, tiada siapa yang dapat memastikannya. Semuanya bergantung kepada perkembangan pelajar ini dan kerjasama dari semua "pelakon utama" dalam kisah kehidupan pelajar ini.

Ini hanyalah sebahagian dari kes kemurungan dalam kalangan remaja, ada banyak lagi kes yang berbeza dari kisah ini untuk saya kongsikan. Apa yang ingin saya sampaikan adalah klien-klien saya adalah pelajar sekolah, maka kerjasama "beyond hospital boundaries" perlu diperkukuhkan utuk pengurusan pesakit secara holistik bukan sahaja psikiatri tetapi juga bidang-bidang lain. Ianya bukan tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat semata-mata, semua orang memainkan peranan penting untuk membantu.

Bagi doktor di hospital, memang sungguh terbatas ruang waktu untuk melakukan ini semua justeru itu sistem pengurusan pesakit "after care" yang sedia ada perlu diperkemaskan lagi. Agak sukar dan memakan masa melakukan tugas begini, tapi bagi saya ianya satu kepuasan kerana saya sendiri turun padang melihat kehidupan mereka. Ianya tidak akan sama dengan menerima laporan dari orang lain kerana saya pasti bila perawat sendiri yang turun padang ada banyak "rahsia" yang akan terbongkar kerana kitalah orang yang paling faham tentang pesakit kita.

#SupportGadgetFreeKids
#SupportDrNorzila
#StopGivingGadgetToKids
#ebook7TipsKomunikasiDenganAnak2
#TBA
#DrNorzilaHomestay

Post a Comment

 
Top