Ganas tajuk saya harini. Minggu lepas minggu peperiksaan di sekolah seluruh Malaysia. Seperti biasa Hafiz dan Hisham pun seperti anak orang lain juga diingatkan tentang peperiksaan.

Saya pesan "kalau abang tak pandai nak jawab, minta tolong Allah, tapi kalau tak faham soalan tanya kat cikgu" sebab penggal lepas Hafiz salah menjawab bahagian penulisan bahasa Malaysia menyebabkan dia mendapat markah hanya 50 sahaja sedangkan matapelajaran yang lain semua A.

Seperti biasa saya tidak menunjukkan reaksi kecewa malah semuanya puji-pujian namun "lain kali kalau abang tak pasti, abang tanya kat cikgu ya" itu saja pesan saya.

"Abang pun pelik kenapa tempat nak jawab ni panjang sangat, tapi jawapan abang pendek je" Hafiz mengingati perasaan hairan yang timbul semasa dalam peperiksaan. Namun nak tanya cikgu mungkin dia tidak berani kerana sedang dalam peperiksaan.

Kali ini saya pesan berulang kali agar dia tidak melakukan kesilapan yang serupa. Jangan silap sangka, saya tak mengejar A tapi saya mahu anak saya faham proses menjalani peperiksaan ada masa kita boleh bertanya jika kita tidak faham. Tak kisah lah dia dapat A atau tidak, itu soal ke 2 yang penting dia tahu hak dia dalam peperiksaan.

Hisham dapat E dalam kebanyakan peperiksaan kerana dia memang belum pandai membaca. Lepas keputusan keluar saya mula melihat keperluan untuk membantu Hisham. Saya pasti Hisham dibantu sebaik mungkin oleh gurunya dan saya amat faham ada kelas pemulihan untuk memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. Saya kan ada team LINUS outreach, jadi saya memang faham proses di sekolah.

Saya maklum satu kelas ada 30-40 pelajar secara purata, memang cikgu tidak mampu nak ajar anak-anak yang lambat dalam masa pengajaran sebab ramai lagi pelajar yang pandai. Kalau fokus kepada anak kita yang agak slow ni, maka sillibus tak habis pula.

Sebab itulah mereka yang slow ini terus tertinggal. Yang mana rajin belajar di rumah (jika tidak sebab masalah rendah IQ) in sha Allah akan dapat mengikuti pelajaran walaupun agak ketinggalan. Kalau yang ada masalah rendah IQ memang sangat mencabar kerana kepantasan mereka belajar memang jauh bezanya dengan pelajar yang tidak mengalami masalah IQ.

Apa yang ingin saya bincangkan di sini adilkah pelajar yang masih belum menguasai kemahiran membaca diberikan ujian penilaian yang serupa dengan pelajar yang sudah boleh membaca dengan lancar?

Apa yang diukur? Kalau baru boleh membaca  dua suku kata "ba ca, bu ku, cu cu" sehingga hari sebelum peperiksaan berjalan, adakah adil mereka diuji dengan soalan peringkat lebih tinggi? Valid kah penilaian itu? Cuba jawab? Puas hatikah dengan penilaian begitu? Apa yang boleh disimpulkan dari penilaian begitu?

Sayakah yang 'buta' tidak pandai menilai penilaian ini atau kitakah yang semuanya menjadi buta dan tuli kerana terpaksa menerima semua penilaian yang ditetapkan hatta ianya tidak menilai apa-apa dari pembelajaran yang telah dijalankan.

Kasar dan menyakitkan hati mungkin komen saya ini. Namun itulah hakikatnya. Ia seolah-olah mengajar ikan berenang di dalam kelas tetapi bila peperiksaan akhir ikan disuruh memanjat pokok. Inilah gambaran yang biasa kita lihat dalam kartun yang dah viral tentang sistem pendidikan di Malaysia.

Kalau saya ajar anak saya menjahit, pasti saya akan uji dengan jahitan, saya tidak akan uji dengan pertukangan kayu. Kalau saya ajar anak saya menggunting kain dengan lurus, saya akan uji dengan berapa lurus kain yang digunting, saya tidak akan uji menggunting kain berliku-liku. Itu baru adil, mengikut kemahiran dan tahapnya.

Bila keluar keputusan peperiksaan, ada kedudukan dalam darjah dan dalam kelas. Saya tidak pernah ingin melihat keputusan ini kerana ianya tidak memberi apa-apa makna kepada saya. Sangat pasti apa yang Hisham jawab hanya tanda ikut apa yang dia nampak tanpa faham arahan. Penilaian yang sia-sia.

Tadi Hisham menunjukkan kepada saya kertas pendidikan Islam, saya lihat dia tanda betul salah tanpa tahu apa yang di tulis dalam tulisan jawi, apa yang sebenarnya ingin di nilai? Serupa macam beri ujian bahasa Cina kepada budak Melayu, tanda je janji tak tinggal tempat kosong.

Pada saya ini suatu penderaan emosi bagi pelajar yang ada masalah pembelajaran. Bagi mereka yang tahu mereka belum mampu, pasti akan kecewa diuji dengan sesuatu yang pasti di luar kemampuan mereka. Mereka pasti mereka akan gagal.

Menduduki peperiksaan hanyalah seolah-olah menempah untuk dimalukan kerana mereka akan dianggap tidak cerdik dengan peperiksaan yang tidak memihak kepada mereka.

Kesian mereka! "Abang dapat markah 92 untuk matematik" kata Hafiz memberitahu saya.

"Wah hebat abang, alhamdulillah" kata saya menyambung keseronokan Hafiz.

"Ibu, Hisham dapat markah 50, Hisham hebat tak?" Hisham mencelah pula

"Wah Hisham pun hebat lah dapat 50!!!" Kuat suara saya dan dengan penuh rasa gembira. Hisham tersenyum lebar bangga diberikan taraf 'hebat' seperti Hafiz.

Hafiz yang faham adiknya belum pandai membaca sungguh pandai memilih ayat bimbang Hisham terasa dia tak pandai.

"Nanti lama-lama Hisham pun boleh dapat markah lagi tinggi" sambil terus memandang Hisham memberi semangat.

Itu kisah saya dan anak-anak saya. Alhamdulillah Hisham dah mula pandai membaca buku anakku sekarang. Saya tahu dia boleh membaca cuma temponya agak lambat. Pasti ramai juga ibu bapa yang mempunyai kisah seperti saya dan Hisham.

Apa pula cerita anak yang dimarah kerana tak pandai membaca? Kerana dapat E dalam peperiksaan, mereka dimalukan di depan rakan-rakan ibu atau ayahnya. Mungkin dalam keadaan ibu ayah tidak sedar

"Hmmm baca pun tak pandai lagi macamana nak jawab periksa, E lah markah" kata si ibu atau ayah, dan anak mendengar ayat-ayat mereka.

Hati mereka terluka dengan pandangan ibu ayah yang merendahkan keputusan peperiksaan mereka. (Hanya segelintir ibu bapa - saya pernah dengar sebab tu saya ceritakan. Anak terkebil-kebil dengar kenyataan kecewa mak ayah).

Ini kertas peperiksaan kecemerlangan 2 yang lepas, ketika ini Hisham masih belum mengusai dua suku kata pun. Cuba tuan puan buat andaian bagaimana dia menjawab soalan-soalan dalam kertas peperiksaan ini? Hantam sajalah!!!

"Macamana Hisham jawab ni?" Saya pernah bertanya.

"Hisham belasah je!" Jawabnya sambil tersenyum simpul. Perkataan belasah tu dia belajar dari ayat saya bila saya bercerita tentang peperiksaan agar dia tidak rasa tertekan setiap kali ujian dijalankan. "Kalau Hisham tak tau jawab, Hisham belasah je, jawab je" kata saya dalam keadaan agak kecewa dengan penilaian penggal.

Sebagai ibu yang memahami apa yang berlaku di otak bagi proses pembelajaran, penilaian begini sangat menyedihkan dan menunjukkan ketidakmatangan dalam penyediaan penilaian yang bersesuaian dengan tahap kognitif pelajar.

Tidak pasti bila sistem kita akan berubah. Allah menguji saya dengan Hisham yang mengalami sedikit kesukaran dalam pelajaran agar saya dapat menyelami dengan sebenar-benarnya perasaan ibu bapa yang mempunyai anak yang seperti Hisham.

Mahukah pihak kementerian pendidikan mengambil kira pandangan saya untuk penambahbaikan sistem penilaian pelajar kita? Saya sedia dan sangat sudi untuk membentangkan rasional permintaan saya ini. Silalah jemput saya demi anak-anak seperti Hisham.

Saya tidak mempertikaikan penilaian bagi anak-anak yang memang pintar, namun saya dapati terlalu tinggi tahapnya dibandingkan dengan tahap kognitif mereka.

Saya rasa ada subjek sains yang saya pelajari semasa dalam tingkatan 4 sudah di ajar di tingkatan 1. Tak ingat lah subjek apa sebab masa tu sembang-sembang dengan Kak Long dan Kak Ngah je. Namun saya tidak kisah sangat selagi mereka boleh bawa itu menunjukkan mereka mampu.

Syukur anak-anak saya dalam golongan yang Allah berikan kepintaran, but frankly speaking very tough for them!

Sekianlah coretan seorang ibu yang juga seorang pakar psikiatri yang memahami variasi cara pembelajaran anak-anak, tahap kognitif yang berbeza dan cabaran pendidikan masa kini.

Saya terus dengan prinsip saya, A tidak memberi apa-apa maksud kalau tidak mampu memahami apa yang dipelajari untuk digunakan dalam kehidupan untuk mencari redha Allah.

Carilah ilmu sebanyak mungkin dan enjoy it! The more you know the more you do not know, teruskan mencari ilmu. Peperiksaan bukan penanda aras kebijaksanaan seseorang dan penentu masa depan kita.

Wallahualam, maaf jika ada yang terasa.


Yang ni memang confirm tanda saja ikut instict. Belasah je lah!



Rezeki lah banyak yang betul


Lambung buah dadu!


Tak ada rezeki, semua cubaan salah


Hmmm...salin je lah untung banyak betul


Confirm tak tau apa dia salin!


Eja pun tak pandai lagi macamana nak faham arahan


Gambaran sistem pendidikan di Malaysia


Post a Comment

 
Top