Danny adalah anak lelaki, kembarnya pula Lenny adalah perempuan (bukan nama sebenar). Comel sangat mereka ni. Berusia baru 4 tahun 6 bulan. Danny mempunyai perkembangan pertuturan yang agak lewat. Masa mana dia belajar bercakap pun ibu ayahnya tidak pasti tapi tiba-tiba sebut perkataan yang betul.
Pada usia 2 tahun Danny sudah boleh mengenal huruf, dia sangat meminati nombor. di mana-mana ada nombor ianya akan menarik perhatian Danny. Dia akan mengatur nombor dan membuat aktiviti dengan nombor. dia menulis nombor di kertas dan dapat menulis nombor dalam gandaan 3 dengan cepat, begitu juga dengan lisan. perkiraannya pantas. Namun dia memegang pensil dengan cara yang salah iaitu cara genggaman.
Semasa sesi di klinik ayahnya menguji dengan soalan matematik, juga dapat dijawab tanpa melihat ada aktiviti mengira dalam jawapannya. semuanya dengan kiraan di minda saja. Namun dia mempunyai kekurangan dari segi komunikasi berkesan dan agak pelat. Danny memahami arahan. Bila berkomunikasi dia tidak memandang wajah saya. Kadang-kadang kedengaran bahasa "German" yang tidak kita fahami. Bila Danny teruja dia akan menggerakkan kedua-dua tangannya dengan satu gaya yang tersendiri berulang-ulang.Mengikut klasifikasi DSM 5 (Diagnostic and Statistical Manual) Danny termasuk dalam kategori autisma.
Danny saya rujukkan ke unit jurupulih carakerja untuk membantu memperbaiki cara memegang pensil dan aktiviti yang berkaitan selari dengan penilaian dari jurupulih carakerja. Danny juga akan meneruskan rawatan di unit pertuturan untuk membantu kebolehan komunikasi berkesan. Ini bukan masalah besar kerana itu memang standard rawatan di sini, namun saya membawa ibu dan bapanya berbincang tentang masa depan anak ini.
Antara perkara yang saya bincangkan dengan ayah dan ibunya adalah bila anak ini masuk ke sekolah nanti, dia mungkin akan mengalami masalah kerana dia bosan dengan pembelajaran matematik dalam darjah satu kerana dia telah jauh lebih advance. Maka dia mungkin akan menunjukkan kebosanannya di dalam kelas dengan membuat aktiviti lain, mengganggu pelajar lain, keluar kelas atau mungkin juga tidak mahu ke sekolah.
Anak ini mungkin akan dianggap sebagai disruptif dan mengganggu pelajar lain, tidak minat dalam pelajaran atau mungkin bermasalah disiplin. Maka seperti lazimnya anak ini mungkin akan dihantar kepada pakar psikiatri untuk penilaian dan penempatan di Program Pendidikan Khas Integrasi kerana guru-guru sudah tidak mampu menanganinya di dalam kelas.
Mengikut hukum di Malaysia yang masih menggunakan model "medikal' anak ini pastinya perlu didaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) yang mana istilah ini sungguh tidak tepat. Dan hanya dengan pasport status OKU dia boleh dibenarkan masuk ke dalam sistem pendidikan khas. Ini termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008, jadi memang sukar untuk diubah kecuali ada perubahan dalam akta. Saya juga berbincang dengan ibu bapanya tentang pendaftaran OKU. Itu adalah hak mereka samada untuk mendaftar atau tidak. Kelebihan dan kekurangan dan bagaimana kita boleh 'bermain' dengan sistem semuanya saya bincangkan secara telus.
Persoalannya:
1. Perlukan anak genius seperti Danny didaftarkan sebagai OKU? (saya tidak memanggil anak dengan autisma sebagai 'pesakit' kerana mereka bukan pesakit! dalam spektrum autisma ada yang mempunyai keupayaan intelek yang lebih tinggi dari pelajar yang tipikal... hmmm tak adil kan kita label mereka OKU!).
2. Di manakah patut pelajar yang extraordinary ini boleh belajar? di mana fasiliti yang menyediakan kemudahan untuk anak ini? Ha... tolong jawab. Pening emak ayah anak ini meng"google' mencari tempat yang sesuai. saya pun tidak dapat nak bantu banyak kerana saya juga kekurangan maklumat tentang penempatan pelajar genius seperti ini.
Kenapa saya timbulkan isu ini? sebab saya mahu pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam pembinaan polisi pendidikan negara memikirkan pilihan pendidikan untuk pelajar-pelajar super genius. Ada ramai pelajar begini di Malaysia, namun tidak terserlah sangat kisah mereka.
Juga supaya selain Tadika atau Permata Kurnia, akan wujud pula tadika untuk genius (takut lah pulak lepas ni emak ayah rasa anak-anak mereka supergenius dan tak mahu hantar dah ke sekolah biasa... masalah pula). Well inilah antara perkara yang perlu difikirkan untuk kita setanding dengan negara maju.
Melabel pelajar dengan keperluan khas sebagai orang kurang upaya sangat menyedihkan, kerana jika kita menggunakan model 'sosial' tidak ada lagi isu simpati dan kesian kepada mereka, tetapi isu "apa kita boleh lakukan agar mereka hidup seperti orang lain', bukan simpati, bantu dan asingkan mereka.
Pengalaman semasa tinggal di Australia, laluan kerusi roda di mana-mana. Laluan dari rumah ke supemarket, rata dan tiada bonggol atau lubang, untuk memastikan kelicinan perjalan kerusi roda. Bas pun boleh 'lowered' untuk mereka yang berkerusi roda menaiki bas dengan selesa. Laluan antara rak di supermarket cukup luas untuk laluan kerusi roda. barang-barang boleh dicapai dengan mudah. Mereka boleh berbelanja sendiri tanpa bantuan orang lain. mereka berdikari sebab kemudahan cukup bagus.
Di sekolah pula telah tersedia laluan yang sesuai, tandas diubahsuai untuk kegunaan mereka, tiada halangan untuk mereka ke mana-mana dengan kerusi roda, melintas jalan ada laluan zebra, pemandu pula sangat mematuhi undang-undang jalan raya. 10 kaki dari lampu isyarat dah berhenti, orang belum sampai ke laluan zebra, kereta dah berhenti. Sungguh selamat terasa bila berjalan.
Lain pula kisahnya di Malaysia. lampu merah pun kita langgar, laluan zebra kita tak nampak dan hampir melanggar mereka yang melintas, pejalan kaki pula yang terpaksa alert, kereta akan berhenti ke tidak di laluan zebra. kalau tidak berhati-hati begitu, ada kemungkinan kita dilanggar.
Berbalik kepada kisah Danny dan anak genius, tuan puan ada idea?? Mari kita brainstorm dan bantu mereka. Mungkin di KL ada institusi yang boleh membantu, tapi di negeri lain di daerah lain yang mungkin terpencil memang sah tiada. boleh ke kalau Dr Norzila nak cadangkan isu ini dibincangkan demi anak-anak genius?
Anak dengan keperluan khas vs anak genius... di mana titik temunya, dan apakah perbezaan mereka dari segi kemudahan dan sokongan dalam sistem pendidikan?
Dengan izin ayahnya saya kongsikan rakaman Danny dan aktivitinya.
Cantik diatur |
Danny memrhati nombor di kotak, dan tidak berminat untuk bermain dengan blok. Danny membuat pengiraan masalah matematik |
Post a Comment