Apa tu? Peperiksaan berpandu???!!! Tak pernah dengar pun. Ya memang agaknya tak wujud istilah tu. Istilah ni Dr Norzila yang cipta. Pernah dengar 'open book exam'? Exam tapi boleh buka buku dan cari jawapan. Macam tu lah lebih kurang konsepnya. Namun yang ini peperiksaan berpandu atau 'guided exam' saya cadangkan untuk pelajar seperti Hisham yang ada sedikit isu pembelajaran.

Semalam dia menunjukkan kepada saya kertas peperiksaannya, kalau lah dia hanya satu-satunya anak saya, saya sendiri dapat membayangkan bagaimana luluhnya hati seorang ibu yang mengharapkan anaknya mendapat markah yang bagus dalam peperiksaan.

Syukurlah Allah jadikan saya pakar psikiatri yang dah biasa dengan pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam belajar, ada yang sangat pintar, ada yang pandai, kurang pandai dan lemah serta sangat lemah.

Namun saya tidak suka nak sebut perkataan 'masalah' pembelajaran atau 'lemah' kerana ianya adalah perkataan yang sangat negatif. Apa yang kita sebut, rasa dan fikir adalah doa. Jangan sebut berulang-ulang pelajar atau anak kita ada 'masalah' pembelajaran.

Gunalah istilah yang lebih baik seperti pelajar dengan cara pembelajaran yang berbeza atau "learning differently". Itu lebih baik dari perkataan "learning disability" setuju tak? Tak setuju tak apa, peace, no war 🙂

Kembali kepada Hisham yang masih merangkak-rangkak membaca, saya nak minta sampaikan kepada pihak kementerian, menteri sekali pun silalah tag mereka. Tidak ada gunanya memberikan penilaian yang serupa dengan pelajar yang dah boleh membaca. Anak seperti Hisham perlukan panduan untuk menjawab, bukannya diberikan kertas dan ditinggalkan begitu saja.

Kalaulah di sekolah yang kecil di mana ada satu atau dua kelas sahaja bagi setiap darjah, guru atau pembantu guru sepatutnya duduk bersama pelajar yang lambat ini dan bantu untuk pelajar memahami soalan dan bantu untuk menjawab. Logik kan!

Tolong bacakan soalan dan bantu mereka mencari jawapannya. Bayangkanlah anak yang tidak pandai membaca ni sama seperti pelajar yang 'rabun' maka bantulah mereka.

Bagi sekolah yang besar dan mempunyai banyak kelas dalam satu darjah, pastinya dalam sistem segregasi dua kelas yang terakhir adalah kelas bagi pelajar yang agak lambat. Maka dalam situasi seperti ini saya cadangkan guru buat peperiksaan seperti membuat latihan bersama-sama dalam kelas. Pandu satu persatu. Haa ..., Inilah dia peperiksaan berpandu!

Paling baik adalah jika pelajar di kelas belakang ini mempunyai penilaian yang berasingan, bergantung kepada pencapaian semasa pelajar terlibat.

Saya pasti guru-guru juga kecewa kerana mereka tahu kebolehan anak murid mereka namun terpaksa juga mengedarkan soalan tahap tinggi kepada mereka.

Ramai guru-guru juga mengeluh kerana walaupun mereka mengajar dan mendidik pelajar, mungkin Allah duga mereka mempunyai anak seperti Hisham. Berbelah bagi perasaan antara mahukan kecemerlangan pelajar yang dididik dan berharap anak sendiri tidak diuji dengan soalan peperiksaan yang sama kerana mereka juga akan kecewa bila melihat keputusan peperiksaan anak.

Secara jujurnya saya tidak langsung kecewa dengan markah Hisham tetapi saya terlalu kecewa dengan sistem berpusat ini. Tidak memberikan kelonggaran untuk sekolah mengolah soalan yang bersesuaian dengan tahap kepintaran pelajar. Suatu yang sia-sia!

Segelintir guru yang mahu mengekalkan kecemerlangan sekolah berprestasi tinggi akan menawarkan agar pelajar yang sudah nampak bayangan tidak akan cemerlang ke sekolah bersebelahan yang ada program pendidikan khas integrasi. Tak percaya? Ke dah biasa dengar? Itulah hakikatnya.

Ini bukan cerita rekaan saya, saya kan ramai sahabat guru pendidikan khas di Kelantan, banyak sekolah telah saya pergi samada untuk program saringan pelajar atas jemputan sekolah, outreach LINUS, jemputan ceramah atau kerana penyiasatan kes klien-klien saya di klinik. Apa yang saya sebut memang berasas walaupun saya tidak berada  sepenuhnya dalam sistem pendidikan namun saya terlibat secara tidak langsung dan banyak rahsia dari guru-guru terluah semasa sesi outreach LINUS.

Kesian guru-guru... bila KPI pelajar boleh membaca, menulis dan mengira adalah 100% saya terkedu!!!  Tak kan lah Allah ciptakan semua pelajar mempunyai kepintaran yang serupa! Dia maha berkuasa, kepelbagaian pencapaian adalah sebahagian dari bukti kekuasaanNya bagi orang-orang yang berfikir.

Maka fikirlah, ciptalah penilaian yang bersesuaian, ciptalah aliran yang bersuaian, ciptalah masa depan yang meyakinkan untuk semua pelajar tidak kira apa kebolehan mereka. Fikir dan fikir.

Di mana masa depan anak-anak dengan cara belajar yang berlainan? Berapa banyak institusi pengajian tinggi disediakan untuk pelajar yang tidak pandai membaca? Bilanglah, cari statistik terkini.

Alhamdulillah kita tetap bersyukur semakin banyak kolej vokasional namun masih tidak dapat menampung pelajar yang memerlukan aliran kemahiran. Akhirnya mereka menjadi sebahagian yang 'tercicir' kerana peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran kurang.

Panjang pulak Dr Norzila membebel, ini tak sampai satu paragraf dari literature review thesis saya. Nanti siap thesis saya banyak lagi yang saya nak kongsikan bukan bertujuan mencari salah siapa tetapi agar kita semua berusaha  mengubah konsep pendidikan untuk anak-anak yang seperti Hisham.

Saya nak pujii cikgu matematik Hisham yang masih memberi markah walaupun Hisham mengeja tidak lengkap namun dia dapat menduga apa yang Hisham mahu tuliskan. Ada gambar di bawah saya sertakan.

Rezeki lah cikgu bagi markah walau ejaan tak lengkap
Beginilah yang sepatutnya penilaian untuk pelajar disleksia. Hampir pasti ejaan mereka tunggang langgang, namun jika yang diuji adalah mengolah karangan, abaikan ejaan yang silap, janji kita dapat agak apa yang mahu disampaikan. Kalau nak nilai berdasarkan ejaan yang betul memang bernasib malanglah pelajar disleksia! Sampai bila-bila pun tak akan dapat markah tinggi!

Di luar negara pelajar boleh menggunakan recorder/alat perakam suara untuk membuat karangan kerana guru-guru tahu pelajar ini tidak mampu menulis dan mengeja dengan baik namun boleh bertutur dan mengolah ayat secara lisan dengan baik. Baru cun!


Come on guru-guru di Malaysia, bagilah peluang kami panggil kalian cun dan awesome pulak!!! Be creative in assessing students.

Boleh ke boleh ke? Ke entri saya ni menyakitkan hati guru-guru? Maaf lah ya kalau terasa, saya tak langsung komen cikgu, tu yang di atas lagi SISTEM ! Itu yang saya komen dan mimpikan ianya berubah. Sistem oh sistem, mohon siapa dalam pembinaan dasar dan sistem terasa!!



Sekian adanya 🙂


Post a Comment

 
Top