Jangan biarkan anak rasa rendah diri
===========================

"Mana tie (tali leher) abang?"
"Dalam kereta kut" jawab Hafiz.

Saya dah beli 7 talileher semenjak Hafiz sekolah 3 tahun lepas, entah ke mana hilangnya. Sekarang ada 3 je yang kadang-kadang muncul 3, kadang-kadang 2 je nampaknya.

Selalunya saya menyuruh Hafiz dn Hisham buka tali leher dan letakkan di dalam kereta bimbang hilang lagi. Secar jujurnya tali leher selalu menjadi barang yang paling saya tak suka nak cari bila ada yang tiada tali leher!

Memori saya pantas mengingat yang Hafiz masuk kereta selepas transit di pejabat saya tanpa tali leher.

"Semalam abang balik dari office ibu pakai tali leher tak bila masuk kereta?" Saya memandang Hafiz yang dah berada dalam kereta, kaki saya masih belum melangkah ke dalam kereta lagi standby nak naik semula ke dalam rumah mungkin terselit-selit di celah kerusi.

"Tak!" Mukanya menunjukkan rasa bersalah dan pasti tiada penyelesaian untuk pagi ini.

Saya terus masuk ke dalam kereta "tak ada maknanya memang tak pakai tie lah pagi ni" jawab saya serius, biar dia beringat bahawa barang-barang sekolah dia kena bertanggungjawab.

Saya terus memandu, dalam hati saya memahami Hafiz pasti risau kena tahan dengan cikgu sebab tak pakai tie, dulu saya selalu kata "tak pakai tie bukan berdosa abang, kalau tak solat memang dosa, pakai tie adalah peraturan yang sekolah buat supaya semua pelajar berdisiplin".

Masa darjah satu mungkin cikgu tak kisah sangat, namun bila dah darjah 3 ni pasti guru-guru menjangkakan pelajar lebih berdisiplin sesuai dengan tahap pemahaman dan kognitif mereka.

Saya agak pasti kali ni Hafiz akan tertangkap, saya mencari akal bagaimana nak boost self esteemnya, teringat malam tadi Hafiz dapat menghafal 2 ayat pertama surah Yunus, hebat dia pada pandangan saya.

"Relaks lah bang, kalau cikgu marah pun tak pe, cikgu tak tau abang hebat boleh hafal 2 ayat surah yunus malam tadi kan? Ibu pun tak boleh hafal macam abang". Saya memberinya rasa hebat agar dia tak rasa down bila kena tangkap nanti.

Ada sedikit senyum di wajahnya tapi agak kelat. Hati masih rungsing bimbang tertangkap. Hisham buat muka tak tau je sebab tie dia memang dah tersangkut di leher. Kalau dia tak ada tali leher pun pasti Hafiz terpaksa mengalah.

Relaks bang, kalau cikgu tanya abang boleh jawab "saya masih hensem tanpa tie, cikgu atau abang beritahu je, adik saya punya tie hilang jadi saya terpaksa berikan saya punya pada adik saya" namun berapa peratus cikgu yang boleh menerima alasan sebegitu 😉

Hafiz dan Hisham keluar dari kereta usai bersalam dan meminta maaf dengan saya, laju mereka berlari sebab jam sudah 7.31 pagi. Saya doakan Hafiz kuat menghadapi apa jua kemungkinan pada hari ini. Janganlah kena denda fizikal sebab dia memang tak pernah di denda secara fizikal.

Saya keluar dari perkarangan sekolah menghantar kak long dan Humairah pula. Sesampainya di pejabat elok terletak tali leher Hafiz di atas meja saya 😞

Tengahari usai selesai mesyuarat jabatan saya masuk ke bilik, Hafiz dan Hisham dah balik dari sekolah, anak sedara yang menjemput mereka. Mata saya terus mencari Hafiz.

"Wah dah balik semua!!!" Ceria melihat anak-anak depan mata. Tak nampak wajah Hafiz monyok.

Setelah beberapa ketika bertanyakan itu dan ini, saya cuba mengorek rahsia.

"Cikgu marah tak abang tak pakai tie?"
Hafiz tak menjawab, malu barangkali kerana Kak Ngah sepupunya ada di situ juga, Kak Ngah kakaknya pun ada juga sebab ada temujanji di klinik gigi.

"Abang, ibu tanya ni" boleh saja saya mahu buat tak kisah hal ni sebab bukan isu besar pun, tak pakai tie je pun, tapi memahami personaliti Hafiz yang agak fragile bila kena denda fizikal saya tidak mahu kes Hafiz tidak mahu ke sekolah kerana cikgu tarik rambut tepi telinga berulang lagi.

Hafiz berjalan ke arah saya dan berbisik "Cikgu pukul belakang" katanya, saya tersentak juga.

"Pukul macamana?" Saya meminta kepastian.
"Pukul kat bahu" jawabnya. Pantas Kak Ngah menjawab "tepuk je tu, biasalah cikgu buat cam tu" katanya sambil senyum sinis. Dia pun bekas pelajar sekolah yang sama.

"Sikit je bang, cikgu tak tahu abang hebat kan boleh hafal dua ayat surah Yunus malam tadi, macho sikit bang!" Saya memberi semangat agar dia jangan "lembik" sangat.

Kalau dulu dah berair mata pastinya. Kali ni tak nampak pun dia nak menangis.

"Kuat lah bu?" Katanya
"Kuat macamana? Macam ni ke?" Saya tepuk bahunya
"Lagi kuat" katanya saya tepuk lagi sehinggalah 5 kali kekuatan yang tangan saya pun terasa sakit menepuk bahu Hafiz.

Dalam hati berkata juga, kenapa perlu tepuk sekuat itu. Memang sukar mengubah budaya itu. Dari zaman saya sekolah sampai sekarang masih serupa. Kalau saya banding dengan negara lain nanti ada yang terasa pula kan.

Tak mengapalah Hafiz, as long tak bunyi ayat "abang tak nak pergi sekolah sebab cikgu denda..." ibu tak kisah. Ada sebab tali leher abang tu tertinggal di pejabat ibu. Allah tahu abang perlukan sedikit dendaan fizikal agar abang jadi lebih kuat!

Ibu pun dapat pengajaran kena pastikan bila keluar dari bilik ibu kena pastikan tali leher pun di bawa bersama.

#DrNorzilaZakariaPakarPsikiatri




Post a Comment

 
Top