Semalam saya berkongsi pengalaman bersama doktor-doktor peringkat sarjana di Jabatan Perubatan Keluarga dalam seminar berkaitan kesukaran dalam pembelajaran di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Masalah pembelajaran adalah masalah neurologi. Ia tidak berkaitan dengan IQ seseorang kerana selalunya mereka mempunyai IQ yang normal.
Antara perkara yang dibincangkan adalah peranan pakar perubatan keluarga dalam membantu menangani masalah pelajar yang mengalamai kesukaran pembelajaran. Saya menekankan tentang perbezaan definisi antara learning difficulties dan learning disabilities. Walaupun di Malaysia para doktor menggunakan istilah ini dalam konteks yang sama tetapi hakikatnya ia tidak serupa.Istilah ini juga berbeza di negara lain. Untuk memudahkan pemahaman dalam konteks Malaysia dari kacamata saya sebagai pakar psikiatri, berikut adalah perbezaanya

Secara amnya learning difficulties adalah kesukaran dalam pembelajaran yang disebabkan oleh faktor luaran seperti masalah deria pendengaran atau penglihatan, mengantuk atau tidur semasa dalam kelas menyebabkan tiada pembelajaran aktif atau masalah emosi seperti penderaan, kemurungan, ahli keluarga yang sakit, atau masalah kemiskinan yang menyebabkan pelajar kerap tidak hadir ke sekolah. Ianya juga boleh disebabkan kurangnya tumpuan seperti yang dialami oleh pelajar yang mengalami Attention Deficit Hiperactive Disorder. Faktor luaran ini boleh diubah dan pelajar mungkin  boleh belajar seperti biasa bila masalah ini selesai. Kebiasaannya intervensi awal boleh membantu pelajar yang mempunyai learning difficulties untuk belajar.

Manakala learning disabilities adalah "built in" problem yang menyebabkan pelajar sukar menguasai kemahiran belajar menulis, membaca dan mengira. Mereka biasanya mengalami masalah seperti disleksia. Intervensi awal boleh membantu pelajar yang mengalami learning disabilities untuk menguasai kemahiran asas menulis membaca dan mengira namun kesukaran ini akan dibawa sepanjang hayat. Pengajaran pelajar-pelajar dengan learning disabilities memerlukan lebih banyak masa dan tenaga serta pendekatan yang berbagai untuk menguasai kemahiran asas pembelajaran. Kesukaran ini biasanya akan berlanjutan sehingga mereka dewasa. Justeru mereka juga perlukan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan kekurangan ini dalam kehidupan seharian.

Kebiasaanya para doktor akan menggunakan singkatan LD untuk masalah pembelajaran . L = learning, tetapi D boleh bermaksud Disabilities, Difficulties atau Disorders. Sehingga ke hari ini tiada istilah sama yang diguna pakai untuk menerangkan kondisi yang sama. Justeru itu para doktor, guru dan ibu bapa patut mengetahui dengan jelas apa perbezaan antara learning difficulties dan learning disabilities.  Istilah learning disorders biasanya merujuk kepada masalah pembelajaran yang lebih specific seperti disleksia, discalculia atau disgrafia.

Untuk memudahkan pemahaman cukuplah memahami perbezaan antara learning difficulties dan learning disabilities. Guru-guru dan ibu bapa perlu memahami perbezaan antara learning difficulties dan learning disabilities untuk mengelakkan kekecewaan sekiranya anak atau pelajar masih tidak dapat menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. 

Secara amnya, kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran sering ditafsir sebagai malas, tidak memberi perhatian atau tidak berminat. Mereka mungkin menunjukkan sikap yang acuh tak acuh dalam kelas, tidak memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran dan mudah lupa apa yang diajar. Kadangkala ini mengundang kemarahan guru dan ibu bapa. 

"ajar banyak kali pun tak ingat-ingat"

Sebenarnya masalah pembelajaran ini berkait dengan cara otak menerima, memproses, menganalisis dan menyimpan maklumat. Ia merupakan kecelaruan dalam satu atau lebih daripada satu proses transmisi maklumat yang melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa, sama ada lisan atau bertulis. Kecelaruan ini boleh menjejaskan keupayaan mendengar, berfikir,bertutur, membaca, menulis,megeja ataupun mengira.

Kesalahan yang sering berlaku adalah kesilapan semasa membaca. Mereka kerap mengulang atau berhenti dari membaca. Mereka keliru dengan perkataan misalnya ‘b’ dan ‘d’, 'p' dan 'q', ‘15’ dan ‘51’ atau ‘on’ dan ‘no’. Bila membaca sebutan juga tidak betul atau menggunakan perkataan yang salah yang bunyinya sama. Bila menulis atau menyalin juga berlaku kekeliruan dan menyebabkan kesilapan ini dikategorikan sebagai "salah" dan akhirnya gagal dalam peperiksaaan.

Pelajar-pelajar ini kecewa kerana mereka gagal menguasai kemahiran yang 'senang' pada orang lain ini tetapi terlalu 'sukar' bagi mereka. Mereka mudah beremosi bila ditegur oleh guru atau ibu bapa atau rakan-rakan yang tidak memahami kesukaran yang mereka alami. Kecederaan emosi ini boleh menyebabkan pelajar-pelajar ini tidak mahu hadir ke sekolah dengan memberikan pelbagai alasan.

Ibu bapa yang tidak faham akan melabel mereka sebagai malas, degil sehingga ada yang memukul anak mereka. Guru-guru pula adakalanya kurang sabar sehingga mendenda dan menyebabkan pelajar malu dimarahi di hadapan rakan-rakan yang lain.

Cuba bayangkan perasaan anak ini, sudahlah di sekolah tidak pandai, di rumah di marah pula. Kebarangkalian anak ini untuk mendapat masalah emosi adalah tinggi sekiranya kita sebagai ibu bapa terus melabel mereka sebagai malas atau lebih dahsyat lagi memanggil mereka "bodoh".  

Maka untuk mengelakkan komplikasi yang boleh membawa kepada gejala yang lebih teruk lagi, Ayuh perhatikan anak-anak kita, periksa buku sekolah mereka, analisa tulisan dan kerja sekolah mereka dan berbincanglah dengan guru-guru tentang prestasi anak kita.

Masih belum terlambat untuk kita membantu anak-anak kita. Andainya kita merasakan bahawa bidang akademik bukan untuk mereka, beralihlah kepada kemahiran untuk memastikan mereka dapat 'hidup' dan mencari pendapatan sendiri dengan kemahiran tersebut.

Ajarkan mereka ilmu agama agar walaupun mereka tidak pandai di dunia dengan ilmu akademik, mereka masih dapat 'melihat' ilmu akhirat dengan mata hati dan telinga mereka. Kerana mereka adalah saham akhirat kita.

Selalunya itulah nasihat saya kepada ibu bapa yang bersedih kerana anak mereka tidak 'pandai' dalam akademik. Sebagai ibu bapa kita perlu melihat dunia dalam perspektif akhirat, bukannya mengutamakan kepentingan dunia semata-mata. Biarlah anak yang kita didik itu tidak pandai mengeja namanya sendiri tetapi tahu solat dengan betul. walaupun tak pandai membaca al-Quran tetapi boleh membaca ayat-ayat al-Quran dengan baik melalui hafazan.

Lihatlah bagaimana Allah menyediakan anak-anak kita dengan cara mudah untuk berjaya di akhirat. Pandanglah anak-anak kita dengan rasa kasih sayang kerana mereka lah harta kita. Terkadang kita melukai hati mereka dengan kata-kata yang mengguris hati hanya kerana ingin menunjukkan kepada rakan-rakan kita atau mengiakan yang anak-anak kita memang bermasalah. Tutup kekurangan anak kita dan tonjolkan kelebihan mereka. Naikkan rasa harga diri mereka walau mereka tidak bijak dalam akademik, yang pasti mereka pasti lebih hebat dalam bidang yang lain.

Untuk ibu bapa di luar sana.... La tahzan andai anda ada anak yang mempunyai masalah pembelajaran tetapi bersyukurlah kerana Allah memberikan kita peluang meraih pahala dengan mudah bila kita bersabar dalam mendidik anak-anak kita ini.

Wallahualam. yang baik datangnya dari Allah.. yang buruk dari kesilapan saya sendiri






Post a Comment

 
Top