Pagi 9 syawal yang lalu saya berkumpul di rumah Dr Anilawati bersama beberapa lagi keluarga 'adik beradik' yang pernah tinggal di Melbourne bersama-sama. Merekalah yang banyak membantu saya semasa berada di bumi kangaroo, namun bila telah kembali ke Malaysia sukar sekali untuk berkumpul seperti semasa di Melbourne. Kesempatan syawal ini kami berkumpul sambil bersarapan pagi bersama-sama.

Kalau dah namanya doktor memang tidak lari dari membincangkan hal pesakit, apatah lagi mereka yang miskin dan perlukan bantuan. Dari perkongsian singkat itu, masing-masing merasakan apa yang telah kita lakaukan sebenarnya masih terlalu sedikit berbanding kehidupan kita yang mewah, dapat makan dan membeli apa saja yang kita mahukan. Anak-anak doktor ini tak tahu apa erti susah, segala keperluan tersedia tanpa perlu mencari dengan tenaga asbab ibu bapanya orang berada.

Kami bersembang tentang pesakit-pesakit yang miskin tegar. Bertukar-tukar kisah dalam bidang kepakaran masing-masing. Dimana-mana ada kemiskinan. Miskin harta apatah lagi yang 'miskin' ilmu agama serta teruk lagi fakir kedua-duanya. 

Mereka membesarkan anak dalam keadaan yang dhaif. Anak-anak 'modelling' apa yang ibu bapa lakukan dan apakah agaknya yang akan terjadi kepada anak ini jika model yang ditiru adalah mencuri demi sesuap nasi. Sebenarnya saya sendiri rasa tertampar dengan kisah yang saya kongsikan. Terasa betapa lemahnya iman saya ini bila hanya mampu memerhati sahaja. 

Bukanlah bertujuan untuk membuka aib manusia lain, tapi bila berlaku depan mata maka 'dosa' itu terasa dibebankan atas kita yang tidak membantu untuk mengubah nasib mereka. 

Rumah saya memang dalam kawasan kampung. Rumah lama namun dalam kawasan berpagar. Di belakang rumah saya ada tanah seluas hampir setengah ekar lagi yang suami saya usahakan dan ditanam pokok-pokok kelapa disekeliling sempadan tanah. Semuanya telah mengeluarkan buah dan terdapat bermacam-macam warna kelapa dari kelapa pandan, matak, yang warna kuning, oren, isi tebal yang saya pun tak tahu apa nama speciesnya, Puas dah kami makan hasilnya dan sesiapa yang datang bertandang bila kena musimnya dapatlah merasa buah kelapa muda ini. Di tepi pagar pula penuh dengan pohon mempelam atau "pauh" kata orang Kelantan. Syukur alhamdulilah, semuanya sudah berbuah, lumayan hasilnya dan dapat dikongsikan bersama rakan dan jiran. 

Apa yang kami agak terkilan adalah mereka yang suka membuat "khianat" kata orang Kelantan. Suatu hari kami lihat buah kelapa muda setiap pokok dipetik, dibelah dan dicampak ke dalam semak sempadan tanah kami. Kecewa sungguh kami dengan pembaziran itu, lagipun ianya belum cukup tua untuk diambil airnya. Suami saya hanya mengegeleng kepala. Terasa betapa kecewanya dia melihat buah-buah kelapa yang bertaburan.

Pernah suatu hari saya terdengar anak-anak kecil bercakap-cakap di luar pagar di belakang rumah saya. Oleh kerana pagar rumah saya memang tinggi melepasi ketinggian saya, maka saya tidak dapat melihat siapa mereka. Saya membuka pintu pagar belakang dan mengintai dari jarak lebih kurang 10 meter, kelihatan 5 orang kanak-kanak dalam usi5-10 tahun sedang berusaha untuk membelah kelapa. mereka begitu asyik sehingga tidak sedar kehadiran saya.

Saya berjalan perlahan-lahan ke arah mereka yang masih leka,  saya hanya menegur bila saya sudah berada dalam 3 kaki dari tempat mereka berkumpul.

Saya pun tegur "adik ambik nyor sapa?" mereka terkejut memandang muka saya dan terus lari lintang pukang! Sebenarnya saya bukan nak marah pun, cuma nak suruh mereka belajar minta izin kalau nak ambil buah kelapa. 

Saya siap laung lagi  bila melihat mereka lari bertempiaran "Adik, ni buah kelapa tertinggal!" lucu pulak saya rasa.

Kalau tak silap masa tu adalah Ramadhan tahun yang sebelumnya. Saya tanyakan kepada pak cik yang selalu mencari ikan di taliair belakang rumah saya hal anak-anak ini, siapa orang tuanya. Sudah pasti beliau kenal anak-anak kecil ini yang duduk tidak jauh dari rumahnya. 

Di beberapa ketika yang lain, sepasang suami isteri membawa guni penuh sarat dengan buah kelapa sambil membawa 3 orang anak kecil berusia dalam 2-7 tahun melintasi pagar hadapan rumah saya.Adakalanya ketika azan maghrib telah berkumandang. Rasa tidak mahu bersangka buruk terhadap mereka, tetapi kalau dah kelapa kita pun hilang pada masa yang sama pastinya saya tidak akan terlepas dari menyangka merekalah yang mencurinya. 

Saya bukanlah rajin sangat hendak mengira berapa banyak kelapa muda di kebun kelapa kami tu, tapi memang kebiasaan suami saya, bila balik hujung minggu beliau akan meneliti pokok mana yang ada buah dan sudah boleh dipetik. Jadi bila hilang tandan kelapa yang dia dah acu nak petik minggu depannya pasti dia perasan akan kehilangan buah-buah kelapa tersebut.

"kalau nak curi pun, tinggalkanlah sikit untuk tuan kebun!' katanya. Saya hanya tersenyum mendengar dia merungut,.

"pahalanya tetap ada bang" jawab saya. 

Nampak beliau terkilan. Sedikit dugaan Allah berikan untuk kami. Sekarang kami dah lali, kadang-kadang "mereka" lalu depan mata bawa guni kelapa kami tak tegur pun setelah tahu di mana mereka tinggal dan betapa dhaifnya kehidupan mereka. Apa yang saya kagum mereka tak pernah tinggalkan anak-anak mereka, walau maghrib anak mereka tetap bersama-sama mereka. 

Di satu ketika yang lain si bapa memanjat pokok kelapa yang betul-betul sebelah pagar rumah. Buka pintu dapur memang nampak, ketika itu mak mertua saya pun ada di rumah saya. Ketinggian pokok kelapa itu agaknya dalam 8 meter. Ianya berlaku waktu siang yang terang benderang. Kami tak kata apa-apa pun. Simpati kepadanya tetapi itulah yang saya katakan "miskin" ilmu. Janji dapat duit tanpa mengira halal haram. 

Isu di sini adalah apakah yang telah kita lakukan. Sebagai jiran saya rasa berdosa kerana tak pernah menghulurkan sebarang bantuan apatah lagi ramai yang mengatakan mereka ni sebenarnya terlibat dengan dadah. Tapi kesian anak-anaknya terbiar, rumahnya pun sungguh dhaif, pintu masuk pun dah berongga di bawah, kalau anak kecil boleh masuk ke dalam rumah melalui lobang pintu ini.  

Saya cuba menegenepikan syak wasangka ini dan berazam untuk cuba membantu mereka ini. Semoga Allah tunjukkan cara. Mungkin para pembaca terfikir, "apa yang susah sangat boleh bagi je duit kat keluarga ni" kan? Lama dah saya nak buat, tapi ada pula saya terdengar mereka sanggup menjual beras untuk ditukarkan dengan dadah, itu yang menyebabkan saya terfikir dua kali. Namun apa yang pasti mereka memang dhaif dan perlukan bantuan. Dua masalah: ketagihan dadah dan miskin tegar.

Saya tidak mahu bantuan yang diberikan nanti ditukarkan dengan najis dadah! Andainya mereka tak terpaksa, saya pasti mereka tak akan mencuri. Namun masalah dadah telah menyebabkan kehidupan mereka semakin sukar.

Dalam kes begini siapa agaknya yang dapt membantu ya... JKM? MAIK? atau setakat pandang dan biarkan sahaja?

Saya mengalu-alukan pandangan para pembaca.


Post a Comment

 
Top