Perenggan terakhir post pada 5 April 2013 

" Akhirnya peperiksaan berakhir, dan kami semua pelajar pulang "for good" ke rumah masing-masing. Bila keputusan keluar, aku menelefon MRSM Kulim untuk mendapatkan keputusan dan masyaAllah, aku dapat biologi A!!! dan kesemua subjek yang lain juga menunjukkan peningkatan, kalau tak silap aku mendapat satu lagi A dalam subjek kimia. Matematik B.....maha suci Allah, hajat kedua ibu bapaku hampir tercapai. Aku memohon untuk meamsuki fakulti perubatan dan alhamdulillah diterima. Di kabarkan seramai 20 orang pelajar matrikulasi UKM seluruh Malaysia pada tahun itu mendapat A untuk subjek biologi dan kalau tidak silap 16 daripadanya berada di fakulti perubatan UKM...syukur ya Allah, dan salah seorang daripada 16 itu adalah aku!

- See more at: http://norzilazakaria.blogspot.com/2013/04/kenapa-dan-bagaimana-aku-menjadi.html#sthash.Qi1lk9bw.dpuf"


Syukur alhamdulillah aku diterima masuk ke UKM, ketika itu Fakulti Perubatan UKM adalah di Jalan Raja Muda "chow kit" hahaha nama yang sangat ku rindui. Maklumlah 5 tahun menjadi warga Chow Kit, tengahari mencari makan atau meronda2 jamu mata di sepanjang kedai2 yang sesak di chowkit adakalanya leka sehingga sampai ke Jalan Tun Abdul Rahman. Kami tinggal di Kamsis Tun Dr Ismail Jalan Temerloh berhampiran dengan Taman Tasik Titiwangsa...sungguh nostalgia tempat tu, berjalan di tengah malam selepas "on call" melalui Jalan Temerloh yang sunyi dan terkenal dengan "sex Maniac" yang selalu menunggu di bawah jejantas jalan Tun Razak yang menyambungkan antara Hospital Kuala Lumpur dengan Jalan Temerloh. Kisah rumah kosong dan hantu di pokok besar di selekoh ke Bernama hmmm entah betul entah tidak, semuanya amat ku rindui. 

Minggu pertama mendaftar di UKM bangi pada 1.7.1990, terasa bangga ketika melapor diri, bila mengisi tarikh lahir dan umur. Ini kerana itulah tarikh lahir ku dan genap "20 tahun 0 bulan 0 hari". Seminggu tinggal di Kamsis Burhanuddin al Helmi untuk program suaikenal. Masih ku ingat yang lirik lagu Kamsis yang dinyanyikan oleh freshies. Letihnya Allah jua yang tahu. Kekuatan fizikal ku tercabar kerana tidak biasa berjalan jauh. Asid laktik berkumpul di betis, sungguh aku tidak mampu untuk meneruskan perjalanan setiap subuh ke masjid untuk solat subuh dan tazkirah pagi. Kami terpaksa mendaki bukit dari Kamsis Burhanuddin al Helmi. Rasanya 2 atau 3 kilo berat pasti hilang sepanjang 5 hari di sana sebelum kami ditempatkan di Kamsis Tun Dr Ismail (KTDI) Jalan Temerloh. 

Selesai minggu orientasi di UKM Bangi, kami terpaksa sambung orientasi di KTDI selama seminggu lagi. Dr Harlina Halizah pakar perbidanan dan sakit puan ketika itu telah berada di tahun akhir. Semua orang kenal beliau kerana dia memang seorang yang sangat cemerlang! Ketika itu terasa seperti dah jadi doktor bila melihat senior2 memakai "white coat" sepanjang berjalan di dalam kamsis. BESSSSSTTT sangat masa tu, tak tahu bagaimana sukarnya kehidupan di masa hadapan, apa yang aku nampak adalah bestnya jadi doktor!! terkejut juga dengan budaya hidup di kampus ketika itu, kami di buru kakak-kakak senior untuk join usrah, ada IPU, JIM, ABIM dan ada juga yang tak de usrah... hehehe masih teringat menyembunyikan diri dalam bilik bila nampak senior2 bergerak ke blok F. Diorang ketuk bilik pun aku dok senyap2 je. Entah apa yang aku takutkan ...kelakar pulak bila ingat balik. 

Selesai orientasi di KTDI maka kuliyah pun bermula. Terkejut lagi dengan budaya kuliah tanpa henti sepanjang hari, makmal dan disection. Takut bukan main nak masuk bilik disection di jabatan anatomi, sampai sekarang masih terbau2 chloroform merendam mayat atau kita panggil cardever. Kalau tak silap aku hanya sempat belajar selama 2 minggu sebelum aku jatuh sakit. Ketika itu rakan2 di UKM Bangi yang berada diFakulti Sains Hayat datang menziarahi kami, dan aku bersama rakan2 yang lain (group matrikulasi MRSM Kulim) membawa mereka berjalan2 sambil berkongsi kisah di Tasik Titiwangsa. Habis satu tasik kami pusing. Memang letih tapi keletihan itu tak terasa dik seronoknya berjumpa kawan2. Kami pulang sebelum maghrib. Lepas solat Maghrib aku berlunjur kepekatan di atas katil dalam bilikku di Blok F, bilik hujung sekali tingkat 3. Sambil aku menggoyangkan kaki ke kanan dan kekiri tiba2 aku rasa peha ku seperti di sentap. memang sakit, tak pasti kenapa, malam itu aku mula merasa sakit untuk berjalan, lama kelamaan semakin sakit tapi aku mengabaikannya. Keesokan harinya aku ke kuliah seperti biasa, berjalan merentasi jalan temerloh, menyeberangi jejantas masuk ke kawasan Hospital Kuala Lumpur melalui jalan pintas asrama Doktor Pelatih, terus melalui pintu utama bangunan hospital kemudian keluar melalui depan bilik mayat terus ke pintu pagar belakang UKM... fuhhh rasanya dekat 1.5 atau 2 km sekali jalan. Sakit makin terasa, ku gagahkan juga berjalan dan hadir kuliah. Habis kuliah aku pun balik semula ke kamsis TDI, tapi aku tak ingat samada aku jalan kaki atau naik teksi. 

Malam tu aku mula demam, kaki kanan ku terasa sangat sakit dan bengkak. Aku dah tak boleh tahan. Keesokan harinya aku tak boleh berjalan jauh, ku gagahkan turun telefon emak dan minta dia datang untuk bawa aku pulang. Emak usahakan datang malam itu dengan bantuan abang sepupu ku. Maklumlah abah cuma ada motor buruk maka abang sepupulah yang menolong kami masa tu. Emak sampai hampir maghrib, aku pun tak ingat siapa yang beritahu warden/fellow asrama yang kemudiannya menyuruh aku ke jabatan kecemasan di HKL. Dalam keadaan demam terketar-ketar abang sepupu ku yang tidak berapa biasa dengan jalan di Kuala Lumpur sampai lewat setengah jam dari fellow yang telah menunggu di kecemasan. Dia nampak macam agak marah kepada kami, namun bukan ianya disengajakan. 

Dengan susah payah dan tak bermaya, selesai juga buat X-Ray. Doktor kata tak nampak apa2 masalah tapi bengkak memang teruk. Doktor hairan kenapa lutut bengkak dan sakit. Doktor balut kaki aku dengan lapisan kapas dan kain bandage. Bila ku kenang2 semula, kenapa dia balut macam tu ye? hmmm mungkin nak bagi susut bengkak. Aku dah keletihan dan rasa hampir pitam. Muka mak dah kusam je, berkerut melihat keadaan anaknya yang dalam kesakitan dan tak selesa.  

Aku berkeras nak balik ke rumah. Bengkak kakiku semakin teruk, lutut semakin kaku dan tidak boleh dibengkokkan. Demam sangat panas sehingga pucatputih kata emak. Jiran2 yang tahu aku sakit datang menziarah. Selera makan langsung tiada. Bila ubat tahan sakit dah habis, abah bawa aku ke "klinik bayar" di Banting. Istilah yang diberikan untuk Klinik swasta. Sekali lagi diberi ponstan dan ubat susut bengkak. Tapi bengkak masih tak susut, mak makin risau. Makcik aku yang kebetulannya kerani kewangan di Pejabat Kesihatan Banting mencadangkan agar berubat cara kampung pulak dengan seorang kakitangan di pejabatnya. Masih ku ingat rupa "pak cik" tu yang dalam lingkungan 40 tahun. Tak pasti apa pendapatnya tentang penyakit ku itu, tapi dia meminta emak menyediakan beberapa jenis daun untuk direbus dan merendam kaki ku. Antara yang aku ingat mak kena sediakan daun inai 3 pot dan daun gelenggang gajah. Ada banyak lagi daun2, emak dan abah mesti ingat.... tapi yang paling aku ingat kisah daun gelenggang gajah ni. Setiap kali aku ingat, pasti berderai air mata... Mak sanggup kayuh basikal sampai ke simpang Morib nak cari daun ni, punyalah jauh mak kayuh basikal di tengahari yang panas terik, demi anaknya ini. Rasanya ada dalam 7 km. Dia tak ingat hal jauh tapi dia nak anaknya sihat semula. Mak cukup risau bila aku tak makan, masak tomyam aku makan sesuap, apaapa pun tak lalu. Macam tu jugaklah aku risaukan anak2 ku bila mereka sakit. Kasih ibu membawa ke syurga!

Semakin ramai orang kampung yang menziarahiku. Ramai yang mengatakan tak sangka aku masih hidup sampai sekarang bila teringatkan keadaanku ketika sakit yang langsung tak berdaya dan kurus kering.

Ambik masa 2  hari juga nak sediakan semua daun2 tu. Bila semua daun2 dah dapat dikumpulkan, maka pakcik tadi pun dipanggil semula, kayu api dinyalakan untuk memasak daun2 ini dalam periuk besar di dapur kayu di luar rumah. Masalahnya macamana nak rendam kaki aku, besen terlalu kecik dan pendek, sedangkan kaki ku ini dah tak boleh bengkok. Kalau masuk besin pun punggung aku je yang terendam. Kata abah, duduk dalam kereta sorong yang abah selalu gunakan untuk angkut kelapa sawit lah. maka dah jadi macam show pulak kat rumah aku, aku di papah naik atas kereta tolak tu, kena rendam selam sejam dua kali sehari untuk 3 ke 7 hari berturut2. Semua ini menjadi tontonan jiran2. Semua menunjukkan kerisauan terhadap kesihatan ku. Allah sajalah  yang tahu macamana perasaan aku apatah lagi mak dan abah. 

Hari kedua, abah dapat idea, buat lubang untuk aku duduk. Abahpun galikan lubang depan pintu belakang rumah, lapik dengan plastik lapik meja. Aku duduk dalam lubang tu dan abah curahkan air rebusan atas kaki ku... ada yang menangis tengok betapa siksanya keadaan ku ketika itu.Setiap hari ada saja orang kampung yang datang menonton aku... memang sedih tetapi lucu pun ada bila di ingat2 kan...

Sampai sekarang abah kadang2 tanya "kakak ingat lagi tak abah galikan lubang?" sambil tersenyum... Allahumma ampunkan dosa2 abah atas kasih sayangnya pada ku dan anak2nya. 

Sayang abah, semoga Allah berikan abah kesihatan yang baik untik terus beribadat

Semoga emak terus sihat, dan ceria seceria orkid2 di laman

Inilah rumah di mana aku dibesarkan mula berpindah pada 9 April 1980.

Mak, abah.... pengobanan kalian tak ternilai semoga Allah kurniakan jannah buat kalian tanpa hisab.

Mata pun dah mengantuk, esok ada kesempatan aku menulis lagi. semoga pelajar2 ku yang sedang berjihad belajar di bidang perubatan dapat mengambil kisah ku ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya demi kedua orang tua mereka.

Ikuti sambungan kisah ini dalam entry akan datang.
______________________________________________________________________________________________________

Join group What is interesting in Dr Norzila's clinic today di 
perbincangan anak dengan masalah pembelajaran



Post a Comment

 
Top