Tajuk hari ni...kenapa dengan Lego House? siapa yang nak buka tu? Ada sesiapa yang nak join buka Lego House? ha... ni lah yang saya nak ceritakan. pastinya kisah-kisah dari klinik saya.

Antara klien-klien saya di klinik ramai yang mengalami autisma, atau sedikit kesukaran dalam pembelajaran seperti disleksia atau kurang tumpuan atau IQ yang agak rendah. namun kebanyakannya mempunyai kemahiran dan minat yang berbeza-beza berbanding bidang akademik yang memang mereka tidak atau kurang mampu lakukan.

Beberapa orang klien saya yang mengalami autisma sangat minat bermain lego, hari-hari main lego kata ibu dan ayahnya. Dan yang lebih menarik bila di klinik saya, set lego bukannya lengkap, kerana telah diagih-agihkan kepada beberapa bilik, namun ada satu klien saya ni boleh buat 5 model kereta dari set lego yang sama. hebat sungguh Allah anugerahkan kreativiti anak ini walau dengan sumber yang terhad.

Memang itulah salah satu ciri anak dengan autisma. mereka mempunyai minat yang tertentu, ada yang suka main kereta kecil, diatur sepanjang rumah atau tangga. Ada yang minat roda, jumpa benda bulat semua dijadikan roda, sampai ada yang masuk di tepi kereta mamanya (kereta 4 wheel drive)... oh sangat gerun bile teringat kisah ini.

Kalaulah mamanya tak sedar, start enjin kereta, memang matilah anak ini digilis tayar. Sebab tu ibu bapa yang ada anak autisma kena extra careful. mereka juga mungkin meniarap di bawah kereta sebab nak tengok roda. Sebagai peringatan awal, kalau nak keluar dari rumah sebelum start enjin kereta, cari dulu di mana keberadaan anak autisma kita ya.

Berbalik kepada kisah Lego House ni, ianya adalah salah satu cadangan saya kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang minat dengan lego dan sangat kreatif membuat pelbagai rekaan atau model dengan lego. jangan disia-siakan minat ini.

"Anak saya ni kerjanya main lego je Doktor, tak nampak pulak minat apa yang boleh mendatangkan hasil' kata seorang ayah.

"Main lego pun boleh buat duit, ayah tau tak macamana?' saya bertanya kembali namun dijawab dengan ketawa kecil.

"Guano (macamana)?' tanya si ayah kepada saya.

"Masa saya tinggal di Kuala Lumpur dulu, selalu ada pameran di pusat membeli belah yang besar. Ada satu hari tu ada robot yang sangat besar diperbuat daripada lego" saya memulakan cerita, si ayah nampak semakin mahu tahu lebih lanjut cerita saya.

"Ayah tahu tak siapa agak-agaknya yang boleh buat lego tu menjadi binaan robot? suruh saya, buat jarinya pun saya tak pandai" sambung saya semula.

"Mereka yang visual thinker, atau pattern thinker macam anak ni lah yang biasanya boleh buat, kalau suruh doktor memang tak pandai." saya menyambung.

"Jadi kalau anak ni suka lego, galakkan terus dia 'mencipta', kerana itu kemahiran, tugas kita sediakan modal. Bila dia besar nanti atau bila-bila dari sekarang dia sudah boleh buat kelas inovasi merekacipta model dari lego, lama-lama boleh buka Lego House. penuhkan rumah dengan lego, orang ramai boleh hantar anak-anak ke Lego House ini untuk belajar mencipta, masuk kena ada sedikit bayaran, kalau boleh buat kelas kreativiti lain ada yuran lain pula" saya menjelaskan dengan panjang lebar.

Terkedu sebentar si ayah. "Saya tak 'nampak' benda ni boleh jadi sumber pendapatan dia doktor. Bila doktor cerita ni barulah saya terfikir memang betul anak saya mampu buat sesuatu untuk hidupnya, kalau tidak saya ni asyik fikir kalau saya mati nanti sapa nak jaga anak saya ni, apa kerja yang dia boleh buat" sudah ada senyum di wajah ayah ni.

Itulah sebahagian dari klien saya, bukan sorang atau dua tapi ramai lagi yang saya kongsikan kisah Lego House, atau mungkin juga permainan lain seperti memanah, swimming, kereta kecil apa ke namanya tu yang ada trek...saya tak ingat namanya. Semua minat terhadap permainan itu boleh dikembangkan kerana anak autisma mempunyai daya visual yang tinggi.

Ibu bapa dapat sesuatu tak dari perkongsian saya ini? Kejayaan dalam hidup bukan hanya dari berapa banyak A diperolehi dalam peperiksaan, tetapi dari kemahiran yang ada.

Ok cukuplah sampai di sini dulu, lain kali saya cerita lagi. doakan saya berjaya dalam penulisan ilmiah pula ya.

Gambar di bawah dengan izin ibunya adalah salah seorang klien saya yang suka main lego.
*** Tip keluar dari kesempitan hidup***

Post a Comment

 
Top