Kali ini saya ingin mengupas isu inklusif di Malaysia. Tajuk ini mungkin amat sesuai dibaca oleh semua guru-guru dan ibu bapa di Malaysia. Pandangan dari perspektif seorang psikiatris yang banyak terlibat dengan pelajar-pelajar berkeperluan khas. Entri ini tidak bertujuan menuding jari mencari salah sesiapa tetapi membuka minda supaya melihat kepentingan perubahan dalam sistem pendidikan di Malaysia walaupun kerajaan Malaysia kita telah bergerak menghala ke arah tersebut.
Menurut Framework Education for All (EFA) yang berlangsung di Jomtien, Bangkok pada 5-9 Mac 1990, sebagai panduan untuk perlaksanna EFA di negara-negara yang terlibat, pengesanan keciciran pelajar harus dimulakan secara aktif dan pendidikan di kalangan kanak-kanak hendaklah dimulakan dari pra sekolah lagi. Ia memerlukan strategi yang teratur dan mestilah multisektorial. Ini sebenarnya menggambarkan bahawa kita sebagai masyarakat Malaysia bertanggung jawab sepenuhnya dalam memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Bagi pelajar yang bermasalah pembelajaran samada yang specifik seperti disleksia, hyperactive, mahupun syndrome Down, juga mereka yang dikategorikan sebagai "lembab" tanpa diagnosis specifik atau "nakal" kitalah yang mencorakkan apa pendidikan yang patut mereka perolehi di sekolah. Sistem persekolahan yang sedia ada perlu diubah untuk memastikan pendidikan untuk semua tercapai. Antara perkara yang perlu dilaksanakan adalah memperbaiki keadaan sekolah bersesuaian dengan keperluan pelajar dan meningkatkan latihan untuk guru-guru. Namun amat menyedihkan (walaupun bukan semua sekolah begini) bilamana kumpulan pelajar lembab dan nakal ini sentiasa di anak tirikan, sudahlah kelas hujung, guru-guru juga sentiasa ditarik untuk mengajar kelas pelajar yang pandai dan potensi untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan seperti UPSR (pengakuan dari beberapa guru-guru yang saya temui).
Tidak ketinggalan peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya diserlahkan dengan membantu dari segi penyelidikan, penyediaan bahan-bahan pendidikan juga analisa keberkesanan sistem sedia ada. Di peringkat antarabangsa, negara-negara yang menyokong EFA perlu membantu dan memberi sokongan samada inovasi pengajaran atau bantuan kewangan kepada negara-negara yang memerlukan bantuan.
Apa yang pasti Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menyokong EFA telah menggariskan apakah keperluan asas yang diperlukan oleh pelajar-pelajar di Malaysia. Juga menyediakan polisi dan penguatkuasaan untuk melaksanakan EFA. Namun dalam kategori merekacipta polisi untuk memperbaiki keperluan asas pendidikan, saya merasakan perlukan lebih banyak penambahbaikan. Terutamanya yang melibatkan keadaan struktur sekolah yang tidak "friendly" untuk mereka yang mengalami kecacatan fizikal, kurrikulum yang masih menekankan kecemerlanagn akademik yang hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai kepintaran atau IQ yang tinggi. Sedangkan untuk pelajar lembab, nakal dan yang sewaktu dengannya banyak ketinggalan seolah-olah tidak ada hak untuk belajar mengikut tahap IQ mereka. Mereka di"paksa" untuk belajar dalam mode kanak-kanak pintar, sedangkan untuk menulis A B C juga sudah amat sukar bagi mereka. Pengalaman selama hampir 10 tahun dengan pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran ini memberikan gambaran yang cukup jelas tentang tahap kefahaman guru-guru aliran perdana kebolehan pelajar-pelajar dengan keperluan khas ini amat kurang. Ramai guru-guru mengharap bahawa pelajar2 ini akan berupaya menulis dan membaca seperti pelajar yang normal. Ada juga guru yang menyalahkan diri sendiri bila pelajar yang diajar tidak dapat mnguasai apa yang diajar, sedangkan sebenarnya kegagalan pelajar tersebut adalah kerana keupayaan intelek mereka yang sebenarnya rendah. Kekecewaan di kalangan guru-guru ternyata begitu ketara bila saya membincangkan kes pelajar-pelajar ini secara individu. Bila mereka memahami tentang IQ dan kaitannya dengan kebolehan pelajar itu belajar, terserlah perubahan wajah guru-guru ini menunjukkan betapa mereka begitu "lega".
Sebagai pakar psikiatri saya merasakan semua peringkat stakeholders di kementerian pendidikan sepatutnya faham situasi ini dan memahami keupayaan murid-murid ini. Sebahagian pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran seperti 'high functioning" autism atau ADHD adalah berpotensi untuk belajar, maka tidak salah jika mereka diinklusifkan secara akademik, tetapi bagi mereka yang memang tidak berpotensi untuk berjaya dalam bidang akademik, amatlah zalim sekiranya dipaksa untuk terus membaca dan mengeja. Biarlah mereka dilatih dalam bidang kemahiran yang bersesuaian. Keluarkan mereka dari senarai akademik untuk tidak "mencacatkan" keputusan peperiksaan utama.
Masalah yang sering kami hadapi adalah sebahagian guru-guru yang mengajar di sekolah berprestasi tinggi atau kluster kecemerlangan tidak mahu pelajar-pelajar yang bermasalah pembelajaran ini berada di sekolah mereka dan pada peringkat awal lagi sudah mencadangkan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah lain yang mempunyai kelas integrasi. Ibu bapa berasa hati, kecewa dan terpaksa akur sedangkan mengikut peraturan tidak ada sebab yang sahih mengapa mereka perlu bertukar sekolah. Kalau inilah senarionya sampai bilakah pendidikan inklusif akan berjaya di Malaysia.
Guru-guru sebagai pelaksana polisi juga mengakui tidak"tahu" bagaimana untuk mengajar pelajar-pelajar yang lembab dan nakal ini. Tida latihan khas yang diberikan, sekiranya ada terlalu minimal atau lebih kepada teori berbanding dengan praktikal. Mereka tiada kebebasan untuk melakukan aktiviti atau menyediakan keperluan untuk memenuhi "basic needs" sebenar pelajar, malah terpaksa dan ada kalanya "terpaksa" menipu diri sendiri atas arahan pihak atasan untuk "meluluskan" penilaian konstruk2 asas menulis, membaca dan mengira. Dimanakah ketelusan sistem pendidikan kita, mengapakan variasi kepintaran pelajar ini tidak dapat diterima? mengapakan semua pencapaian bersandarkan kepada akademik.
Jika telah duduk dalam darjah satu atau mungkin sehingga darjah 2, pelajar masih tidak dapat mengenal huruf dengan pengajaran guru yang berusaha bersungguh-sungguh, masih dikira pelajar mampu untuk mengira, membaca dan menulis seperti pelajar lain? Tidakkah terfikir bahawa pelajar ini kemungkinan besar mengalami IQ yang rendah dan perlukan bantuan dari segi kemahiran untuk hidup. Lupakan cita-cita menjadi seorang jurutera, atau doktor atau pensyarah sekitanya mengenal huruf amat sukar setelah diajar berulang kali. Mereka perlukan satu lagi jurusan yang lain, bukan akademik tetapi vokasional, kemahiran...
Ayuh guru-guru, jujurlah dalam penilaian kalian. Seorang pegawai di JPN menceritakan kisah seoarang pelajar di tingkatan 3 yang sepatutnya menduduki peperiksaan PT3 tahun ini dan diberitakan lulus kesemua 12 konstruk... maknanya boleh membaca, mengira dan menulis. Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah. Tidak pasti apa yang dijawab semasa UPSR namun dapat masuk ke tingkatan 1. Pun begitu peperiksaan UPSR bukanlah suatu yang wajib untuk seorang pelajar memasuki tingkatan 1. Guru-guru di sekolah menengah pening kepala kerana pelajar ini hanya tahu menulis A B ban C sahaja. Penafian dari ibu bapa yang masih dalam keadaan tidak dapat menerima kenyataan memaksa pegawai JPN di unit pemulihan ini turun sendiri untuk menilai. Ternyata bila disuruh menulis D juga tidak pandai. Mahu sahaja saya cari siapakah penilai konstruk tersebut. Ini kisah benar yang bukan saya reka. Ini kenyataan. Sekarang siapa yang patut dipersalahkan? Guru-guru, ibu bapa atau sistem yang menekankan pencapaian akademik??
Kalaulah pelajar ini diletakkan dalam jurusan vokasional (saya berharap impian saya tercapai), pastinya beliau sudah pandai memasak atau menjahit atau menggunakan komputer untuk design pakaian atau membuat sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan. Apakah yang diharapkan dengan seorang yang tidak pandai membaca, membawa sijil UPSR dan PT3 untuk menjadi kerani? atau bekerja dikilang? terlalu zalim rasanya untuk mereka. Apa yang lebih praktikal adalah kemahiran untuk hidup sebagai "manusia" dan tidak bergantung kepada orang lain.
Sebagai hamba kita kena menerima apa yang telah ditakdirkan untuk kita, sekiaranya anak kita memang tidak mempunyai potensi untuk berjaya dalam akademik, pastinya dia mempunyai kelebihan di bidang lain. Carilah kelebihan itu dan pupuklah agar kelebihan itu akan menjadikan mereka dapat berdikari dalam kehidupan. Sebagai pembina polisi kita harus sedar keperluan insan-insan istimewa ini. Pendidikan khas integrasi yang sedia ada masih menekankan kepada kecemerlangan akademik. sekiranya mereka berjaya dan boleh menguasai kemahiran mereka akan dimasukkan semula ke dalam aliran perdana. saya tidak mempersoalkan integrasi ini kerana pelajar yang berada di dalam kelas integrasi ini adalah pelajar yang ada potensi untuk belajar dalam bidang akademik.
Maka bagaimanakah inklusif dapat dilaksanakan sekiranya guru-guru sebagai agen pelaksana utama tidak bersedia? dan masih mempunyai expectation yang pelajar ini kena pandai membaca, menulis dan mengira? persediaan dan strategi yang efektif adalah sangat penting dalam pelaksanaan inklusif.
kalau sudah hampir 20 tahun inklusif masih di tahap ini saya rasa kita tidak akan pergi jauh. Kesedaran tentang kebolehupayaan pelajar yang bervariasi ini perlu ada kepada pembuat polisi dan pelaksana di peringkat kebangssaan dan sekolah. jangan biarkan guru-guru menjadi mangsa sistem yang tidak adil untuk mereka dan pelajar2 mereka.
Dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan asas di Malaysia, kita perlu meningkatkan kerjasama yang sedia ada dan membuka lebih banyak peluang untuk badan-badan berkaitan untuk turut serta membantu. Contohnya penglibatan jurupulih carakerja, educational psychologist, kemudahan alat bantu mengajar yang modern seperti komputer audiovisual adan sebagainya adalah amat perlu.
Saya berharap suatu hari nanti Malaysia akan berjaya menjalankan pendidikan inklusif sepenuhnya dan semua pihak dapat membantu pihak kementerian pendidikan untuk sama-sama mencapai matlamat ini.
Saya akan terus memperjuangkan hak pelajar-pelajar berkeperluan khas ini dan membantu guru-guru mencapai pemahaman tahap tertinggi tentang kaitan pendidikan dan kesihatan mental. Jom bina jaringan kerjasama bersama kami untuk memperbaiki tahap pendidikan golongan ini. Bukan menuding jari tetapi kerjasama. JOM!
Saringan pelajar gagal LINUS di Gua Musang 1-2 April 2015 |
Post a Comment
Post a Comment