Saya tidak pasti mengapa saya begitu suka terlibat dalam aktiviti yang melibatkan sekolah dan guru-guru serta kementerian pendidikan. Apa yang pasti saya 'melihat' pelajar-pelajar sekolah adalah sebahagian dari pelanggan saya di klinik psikiatri, guru-guru pula adalah sumber maklumat permasalahan pelajar yang perlu saya dapatkan pandangan mereka. Manakala pegawai-pegawai di kementerian pendidikan adalah tempat saya mengusulkan cadangan dan memberikan pandangan, ada rezeki didengar dan diambil tindakan atas cadangan kami itu.
Apa impaknya? Semakin ramai pelajar-pelajar mendapat perawatan awal hasil dari pengesanan awal, terapi dari pelbagai disiplin dapat diperkukuhkan dan saya harap pakej terapi yang perlu ada dalam menangani pelajar bermasalah pembelajaran boleh didapati dari sekolah itu sendiri tanpa perlu ke hospital.
Sebab itulah kita perlu 'educational psychologist' di sekolah selain dari kaunselor. Namun entah bila akan wujud pos ini di sekolah. Malaysia tidak ada tempat untuk para educational paychologist tetapi pos ini begitu penting di negara-negara barat, hatta di Singapura juga telah lama wujud. Kenapa dan mengapa kementerian tidak mewujudkan pos ini saya pun tidak pasti (mungkin telah diwujudkan tetapi saya tidak tahu), namun apa yang pasti semua permasalahan pelajar pasti sampai kepada pihak kesihatan. Ini mungkin kerana kita masih menggunakan 'medical model' yang memerlukan pelajar dihantar kepada doktor untuk penilaian biarpun masalah yang timbul bukan berkaitan penyakit tetapi lebih kepada isu pembelajaran yang nyata ianya bukan penyakit.
Tanpa menjalani kehidupan dalam alam pendidikan saya tidak akan mampu mengupas kehidupan pelanggan saya ini ketika mereka berada di sekolah. Tanpa mengetahui sistem pendidikan di Malaysia, bagaimana mereka di tempatkan dalam sistem pendidikan khas dan bagaimana mereka belajar di pendidikan inklusif, saya tidak akan mampu membantu ibubapa membuat pilihan terbaik, tidak akan mampu bekerjasama dengan guru-guru dalam bahasa yang difahami oleh dua alam yang berbeza ini.
Hidup dalam alam kesihatan mental dan pendidikan memudahkan pemahaman masalah pelajar walaupun titik persefahaman itu masih berselisih, namun semakin hari semakin rapat dan jelas.
Semakin lama semakin kita memahami mengapa pelajar dengan pelbagai kesukaran dalam pembelajaran ini dianggap "masalah" sedangkan ada negara yang menganggap mereka hanya "unik" dan tidak langsung menggambarkan bebanan untuk mendidik mereka.
Jauh maksud "masalah" dan "unik" namun itulah hakikatnya. Tidak ramai yang mampu melawan arus sistem pendidikan negara yang nyata mementingkan kecemerlangan akademik dari melihat kepelbagaian cara belajar seseorang pelajar. Di Malaysia memang pelajar seperti mereka tidak dialu-alukan, namun apakan daya tidak ada sistem yang dari peringkat rendah telah menjurus kepada kemahiran. Walau tidak dapat menulis dan mengeja, wajib pandai menulis dan mengeja, kalau kemampuan itu mustahil, di label saja anak ini "orang kurang upaya", siapa yang melabel? doktor perubatan! Saya dan rakan-rakan sayalah tu. Dalam hati menjerit merintih mengapa anak ini perlu dilabel sebagai "orang kurang upaya" kerana jika ada sistem yang sesuai dengan kebolehan mereka, pasti tidak akan kelihatan langsung apa yang mereka tidak berupaya.
Ada ahli musik yang tidak tahu membaca tetapi pandai membaca kod musik, ada pelukis batik yang tidak pandai membaca tetapi tangannya hebat menghayun berus mencorak batik. Ada tukang masak hebat yang tidak pandai membaca tetapi maskannya subhanallah memang sedap sangat. Apa perlunya menyuruh mereka menguasai bidang yang mereka tidak mampu kuasai.
"Assalam Dr, Kak Na nak bagitahu Farid dapat masuk ke Kolej Komuniti di Selangor dalam bidang Kulinari" mesej saya terima dari seorang ibu hebat Roselina Rokiah Mahiddin memberitahu kisah anaknya Farid seorang pelajar dengan autism yang sangat hebat.
"MashaAllah, tabarakallah.. tahniah Kak Na" saya membalas, hampir menitiskan airmata mengenang kisah Farid yang walaupun tidak saya kenali lama namun sempat melihatnya di klinik ulangan sejak ibunya memgenali saya melalui facebook.
"Abang tahu tak, ada ramai orang mesej yang nak jumpa Ila di HUSM, nak bincang hal anak diorang" saya berkongsi cerita.
Ada yang datang dari KL tempah hotel di KB dan datang semata-mata mahu berjumpa saya, dan telah mengambil appoinment awal-awal lagi. Saya sesungguhnya benar-benar terharu dengan kepercayaan mereka terhadap saya. Haza min fadhli robbi.
Banyak juga mesej peribadi berkenaan masalah anak mereka yang mana sempat saya ulas dan berikan cadangan. Saya sangat puashati bila mereka faham permasalahan anak mereka walaupun hanya melalui mesej yang saya terangkan, mudah-mudahan Allah permudahkan urusan seterusnya untuk mendapatkan perawatan yang sewajarnya.
"Sebab apa dan dari mana diorang kenal Ila? " tanya suami saya sambil merenung saya.
"Kalau Ila tak menulis mana orang akan tahu" katanya lagi.
"Dulu abang suruh tulis, Ila marah kan... ha sekarang tengok berapa ramai orang dapat faedah dari penulisan Ila? " tambahnya lagi.
Saya hanya diam mengiakan kebenaran kata-kata pendorong utama mengapa saya mula menulis pengalaman dan pandangan saya di media sosial, walaupun adakalanya saya dikritik teruk. Namun itu hak mereka untuk tidak bersetuju dengan pendapat saya.
Apapun, saya hanya berharap penulisan ini menjadi aliran ilmu yang berterusan dan menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Home
»
»Unlabelled
» Apa nasib anak-anak dengan masalah pembelajaran di Malaysia?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment
Post a Comment