Hari ini Jumaat 29 Julai 2016. Dua hari lagi Humairah akan menyambut hari kelahirannya yang ke 4. Humairah adalah anak bongsu saya yang akan saya tinggalkan sepanjang mengerjakan ibadah Haji tahun ini.

Sebenarnya telah beberapa kali terdetik di hati saya untuk menulis namun saya tangguhkan. Takut mengguris hati sebahagian pembaca. Namun saya perbetulkan semula niat saya berkongsi untuk mereka yang berada dalam situasi yang sama seperti saya. Semoga Allah ampunkan segala niat yang tidak betul dan saya mohon maaf andainya perkongsian ini menimbulkan rasa tidak selesa kepada pembaca.

Alhamdulillah saya dan suami dijemput Allah menjadi tetamuNya pada musim haji tahun ini. Hanya lebih kurang 16 hari saja lagi saya dan suami akan menjadi duyufurrahman. Perasaan bercampur baur, tertitik jua airmata tatkala menerima surat pemberitahuan menunaikan haji pada tahun lepas.

"Bila kursus asas haji bermula?" saya menelefon Pejabat Tabung Haji untuk memastikan tarikh Kursus Asas Haji (KAH)
"pertengahan bulan Disember 2015 puan, akan berlangsung selama 17 minggu. In sha Allah berakhir hunung bulan April 2016" jelas pegawai yang menyambut telefon saya itu.

Kami memang telah mengetahui nama kami berada dalam musim haji tahun 2016 semenjak adanya sistem online tabung haji yang boleh menyemak tahun sepatutnya menunaikan haji. Namun atas ketiadaan ilmu dan kami pun tidak pernah bertanya kepada sesiapa, kami tidak pernah menghadiri kursus asas haji. Saya terkejut bila menemui peserta-peserta di KAH yang mereka telah hadir kali ke 2 atau ke 3. Hmmm ruginya lah saya baru tau. Ingatkan bila nama dah naik baru boleh pergi KAH. tapi tak mengapalah. Itulah takdir Allah. Saya berdoa agar Allah permudahkan dan memberi saya dan suami mudah faham.

Beruntunglah mereka yang telah pernah mengerjakan umrah. Mereka telah mengalami dan melihat sendiri suasana di Masjidilharam, bertawaf dan saie. Semua itu tidak dapat digambarkan. saya juga selalu terbaca status rakan-rakan yang telah sampai ke Baitullah merindui suasana di Masjidil haram dan sayu pula bila mendengar laungan azan dari Masjidil haram. Saya tidak langsung dapat merasai perassan rindu itu. Ya lah belum sampai ke sana, macamana nak merasai perasaan rindu kan?

Cemburu juga melihat rakan-rakan yang saban tahun diberikan Allah nikmat menunaikan ibadah umrah. Bilalah agaknya saya mampu melakukan demikian. saya memujuk diri sendiri, sememangnya anak-anak masih kecil dan memerlukan saya. In sha Allah sampai masa kita pasti menerima jemputan itu.

Kini masanya telah tiba, jemputan istimewa sebagai duyufurrahman. Syukur kepada Allah. saya hanya memberitahu keluarga terdekat dan ketua jabatan setelah menerima surat pemilihan menunaikan haji pada tahun ini. Ini adalah kerana cuti panjang memerlukan perancangan rapi penyerahan tugas-tugas pengajaran di universiti.

Saya menghadiri KAH setiap minggu. Sebenarnya memang memenatkan apatah lagi anak kedua saya
tinggal di asrama dan perlu dijenguk setiap 2 minggu. Namun semangat kena kuat, cabaran menjadi duyufurrahman telah bermula dari Malaysia lagi. Kesabaran, perlu tinggi dan semangat perlu kuat. Ini bukan misi kebangsaan atau antarabangsa tapi misi akhirat. Hanya mereka yang dipilih Allah sahaja yang akan sampai ke rumahNya. Allah telah pilih saya dan suami mengapa mahu diambil secara sambil lewa.

Emak mertua yang telah pergi haji dan beberapa kali menunaikan umrah juga ikut sekali KAH ini. Mulanya saya pun tidak faham mengapa beliau mahu hadir juga, namun itulah keindahan dan tarikan Baitullah. Mereka yang pernah ke sana pasti menyimpan niat mahu kembali ke sana semula. Di dalam hati kecil saya selalu teringat bahawa Rasullullah s.a.w pun hanya melakukan ibadat haji sekali sahaja, mengapa mahu melakukannya dua kali atau tiga kali? saya tidak pasti apakah itu bisikan jahat syaitan tetapi pemahaman haji hanya wajib sekali seumur hidup tetap terpahat kukuh. Justeru itu, biarlah ibadat haji ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, hati kena betul-betul niat hanya kerana Allah kerana tidak pasti samada kita boleh kembali semula ke tanah suci untuk melakukan ibadat haji.

Sering kita diperingatkan oleh para ustaz "Buat ibadat haji bersungguh-sungguh. Ini wajib sekali seumur hidup, kalau ada rezeki lebih baik hantar sahabat handai menunaikan haji. Cuba fikirkan berapa besar pahala kita akan dapat?"

Hmmm saya juga mempunyai cita-cita begitu bila melihat ramai juga saudara mara yang kurang berkemampuan yang bila ditanya, akaun tabung haji pun tidak berisi lagi.

Kemasukan kali ini tidaklah memfokuskan tentang isu tersebut, tetapi saya ingin menyentuh persediaan ibu bapa untuk anak-anak yang ditinggalkan dalam tempoh masa 40- 50 hari. suatu tempoh yang agak panjang. Bagi yang jarang berpisah tentu ianya suatu yang mendebarkan. tidak pernah berpisah dengan ibu dan ayah pasti akan menimbulkan kerinduan terutamanya jika anak masih menyusu badan, dan yang masih belum memahami mengapa mereka ditinggalkan sebegitu lama.

Doa adalah senjata utama kita. Jangan berhenti berdoa, mohon kebaikan dalam setiap perkara, aman perjalanan, keselamatan untuk anak-anak dan harta benda yang ditinggalkan. Mohon dipermudahkan setiap pergerakan ibadat di tanah suci, tiada kesukaran menyucikan diri dalam kesesakan jutaan manusia dan aturan tidur yang cukup untuk memberikan tenaga melakukan amal ibadat sepanjang bertamu di Baitullah. Itulah antara intipati penting yang saya garap dari buku tulisan prof Kamil Travelog Haji Mengusik Hati.

Pada pandangan saya, sesiapa yang akan menunaikan fardhu haji eloklam membaca buku ini. Ianya memberikan "emosi" kepada kita yang belum sampai ke sana. Ya betul dalam KAH, dalam ceramah ustaz dan pembelajaran semasa praktikal Kursus Haji Perdana dan sebagainya memberikan panduan dari segi teknikal namun untuk merasakan apa itu haji buku ini benar-benar menyentuh hati. saya selalu berkata kepada rakan-rakan " kalau tak baca buku ni rugi, dua kali rugi kalau baca lepas balik haji" jangan menyesal, baik baca dan dapatkan emosi ibadah haji itu yang diterangkan dan digambarkan dengan jelas oleh Prof Kamil dan Puan Roza dalam bukunya.

" When you are going for Hajj, the burden are all on me" kata anak sulung saya sayu suatu ketika semasa saya memberitahu tentang perancangan saya semasa saya dan ayahnya mengerjakan haji. Saya juga tidak dapat menahan air mata, saya faham kerisauannya sebagai anak sulung. Saya biarkan dia menangis dan saya juga turut menangis. Ketika itu saya belum nampak bagaimana mahu meninggalkan 5 orang anak selama hampir 50 hari. Setiap hari saya berdoa mohon Allah bantu saya agar saya dapat pergi menunaikan fardhu haji dengan tenang. Tips-tips doa dalam buku Prof Kamil menjadi panduan saya. Saya mohon agar Allah tidak timbulkan rasa rindu dalam diri anak-anak saya sepanjang kami berada di tanah suci.

" Nenek kan ada kakak" saya memujuk. Kak Long memang rapat dengan neneknya, kalau boleh dia nak duduk dengan nenek tapi apakan daya dia bersekolah di Kelantan. Semasa kecil sehingga berusia 6 bulan nenek yang menjaga Kak Long. Ketika itu saya sedang melanjutkan pelajaran peringkat Master di HUKM. Jadi rumah nenek sudah sebati dengan hidupnya. Lagi pula suasana di rumah nenek yang berdekatan dengan emak-emak saudara saya dan saudara mara yang lain mendamaikan. Itulah kampung saya di Selangor. Susun aturnya jauh berbeza dengan Kelantan. Kata suami saya "Sungai Lang ni bukan kampung, tapi bandar" dia membuat kesimpulan.

Pada pandangan Kak Long suasana di Kelantan ini jauh lebih sunyi. Kami duduk di dalam kampung yang bukan kampung asal suami, jadi kami adalah orang asing di sini. Hanya lima atau enam keluarga yang berdekatan sahaja yang kami kenal. Encik Rosli dan Kak Mah jiran terdekat adalah tempat kami meminta bantuan. Mereka sekeluarga memang sangat ringan tulang, tidak mengira masa datang membantu. Semoga Allah berikan kesihatan yang baik untuk mereka sekeluarga

Hari demi hari berlalu, walaupun saya tidak tahu apa yang sebenarnya anak sulong saya fikirkan, namun dia terpaksa menerima kenyataan yang masa semakin hampir denagn musim haji. alhamdulillah, Kak Long mendapat ilham untuk mengajak dua orang rakan baiknya yang telah saya anggap sebagai anak-anak saya datang dan tinggal bersama. Jadi mereka boleh ke sekolah bersama-sama. Setidak-tidaknya mereka seronok bersama walaupun kami tiada.

"Biar saya duduk rumah doktor lah" kata pembantu peribadi saya. saya tercengang juga asalnya. Ya tak ya juga baiklah Kak Cik (nama timangan) duduk di rumah saya membantu emak dan mak mertua saya di rumah saya. Bolehlah dia membantu membeli barang-barang dapur, dan mengambil anak-anak saya dari sekolah. Lagipun anak-anak saya telah biasa dengan Kak Cik.

" Saya buat kerja menaip kat rumah doktor lah" katanya lagi. Hmmm ... bagus cadangan kak cik dan memang bertepatan sekali. Kak Cik telah bekerja sebagai pembantu peribadi saya lebih setahun yang lalu. Dialah yang membuat kerja taip menaip buku-buku saya dan menguruskan urusan kecil yang lain di pejabat termasuklah mengambil anak-anak saya pulang dari sekolah. Kadang-kadang anak-anak saya mengajak Kak Cik membeli belah. Alhamdulillah, ini sebahagian dari perancangan Allah dan ini sangat melegakan saya. Gembira anak-anak saya yang memang rapat dengan Kak Cik bila tahiu Kak Cik akan datang ke rumah di siang hari.

"Blehlah jalan gi AEON" kata Kak Long

"Oh nak jalan saja!" tempelak saya

" boringlah Bu, tak kan nak duduk kat rumah je" balas Kak Long

'Ya lah"

"Hati-hati bila bawak adik-adik jalan, jangan leka" Kak Long tidak menjawab. Dia sudah biasa dengan arahan saya seorang menjaga seorang adik bila berjalan atau membeli belah.

Kak Ngah pula duduk di asrama, mungkin tidak akan terasa sangat ketiadaan kami. Lazimnya kami melawatnya 2 minggu sekali. Dia mungkin terasa bila tidak dapat makan masakan ibu biarpun hanya tempe goreng dan nasi puteh kegemarannya.

" Nanti ada seminggu cuti sekolah, Kak Ngah balik rumah"
"nenek ada kat rumah" kata saya cuba meneutralkan kerisauannya.

Bab satu: Makan

Dia pasti seronok sebab nenek akan tinggal di sini dan boleh makan semua masakan jawa kegemarnnya.

Lidah jawanya memang kuat. Lauk kegemarannya adalah masakan neneknya. sebab itu bila balik kampung nenek akan menyiapkan semua makanan kesukaan cucu-cucunya walaupun nenek sudah berusia 74 tahun.

Walaupun kami telah tinggal di Kelantan berbelas tahun, lidah anak-anak saya memang masih standard masakan orang Selangor. Mereka memang masih tidak boleh menerima makanan kelantan kerana kebanyakannya manis. Bukan mereka sahaja, ayahnya pun serupa. tapi itu tidaklah menghairankan kerana sayalah tukang masak utama jadi memanglah semuanya mengikut resepi emak saya.  Antara makanan Kelantan yang menjadi kegemaran Hafiz dan Hisham adalah laksa lemak Kelantan. Bermangkuk -mangkuk mereka makan jika dihidangkan laksa lemak ini.

Sebab itu saya jarang membeli sarapan pagi di kedai. Bukan isunya nak menimbulkan masakan mana sedap atau tidak tetapi saya terpaksa memikirkan perkara ini kerana saya tidak mahu anak-anak saya merasakan "kalau ibu ada mesti ibu masak  begini dan begitu" dan ini pasti akan menimbulkan kerinduan kepada kami. Emosi mereka pasti terganggu, dan tidak mustahil mereka akan menangis mengingatkan ibu dan masakan ibu. Kelihatannya ia seperti bukan isu besar kan tetapi jika anak-anak kita jenis yang memilih atau tidak biasa dengan gaya masakan orang lain, impaknya besar kepada mereka.

Sebab itu juga saya berusaha membawa emak saya datang ke sini, walaupun sebenarnya emak saya juga keberatan meninggalkan rumah kerana adik lelaki saya dan adik ipar saya serta anak mereka yang sangat comel tinggal bersama emak saya. Terpaksalah emak saya berjauhan dengan anak bongsunya dan cucu bongsunya. Namun saya mohon Allah berikan kekuatan dan kesihatan agar emak boleh memasakkan makanan kegemaran cucu-cucnya.

Emak mertua saya juga akan bersama membantu menjaga anak-anak saya, namun emak mertua saya sangat simple orangnya. ada ikan rebus dan budu sudah cukup. Kak Long pula tidak pandai makan budu. Kak Ngah dan Hafiz yang sudah mula pandai makan budu. saya bimbang saya akan menyusahkan emak mertua saya terpaksa memasakkan anak-anak saya namun tidak kena pula rasanya dengan selera anak-anak saya. Justeru itu kehadiran emak saya menyelesaikan banyak perkara.

Hafiz, Hisham dan Humairah tidaklah sukar mana tentang makanan. dapat telur goreng mata kerbau dengan kicap pun ok. tapi tak kan lah 48 hari nak makan lauk telur goreng saja. Kak Long boleh memasak sup, masak lemak, sambal tumis semua pun ok lah. Dia juga agak kritikal macam ayahnya, bab adjust garam dia cukup pandai bukan macam Kak Ngah "ok je" bila ditanya sedap tak makanan tu.

"Kurang garam lah Bu" antara komen kak Long bila saya minta dia merasa masakan.

"rasanya macam asam yang kurang ni" dan dia akan mencadangkan berapa banyak garam perlu ditambah jika saya berpuasa. KAlau tidak berpuasa, memang tidak ada masalah bab merasa makan ini.

Habis satu bab tentang makan. Bab yang penting walaupun nampak remeh. Harap-harapnya 48 hari nanti anak-anak saya sudah boleh makan masakan kelantan dengan lebih baik hehehe.

Bab kedua. Tidur.

Bab ini memang penting untuk Hisham dan Humairah. Hisham mempunyai perangai yang lain dari orang lain. Dia memang sangat rapat dengan Humairah, mereka sering berebut barang dan perhatian. Bila tidur masing-masing akan tidur dengan ibu seorang di kanan seorang di kiri. Hisham memang akan tidur di bawah letiak saya. memang lucu tapi setelah berusia lebih 45 tahun baru saya faham sebenarnya istilah "tidur bawah ketiak emak" memang betul-betul di 'bawah ketiak'

Itulah Hisham " ibu nak ketiak ibuuu... matanya layu merengek nak tidur. Kadang-kadang saya berasa rimas dengan Hisham. kalau saya memegang buku sambil berbaring dia akan menarik tangan saya memastikan kepalanya dilingkungi lengan saya dan memang betul-betul dia tidur di bawah ketiak saya.

Humairah lebih 'kakak' dari Hisham. Humairah lebih independent.

"Nanti bila ibu pegi haji Hisham tidur dengan sapa?"
"tidur sendiri" jawabnya tersengih
"tidurlah bawah ketiak ayah" saya menduga kefahamannya
"ayah pun pegi mekah jugak" jawabnya yakin. Betullah dia dah benar-benar faham yang saya dan ayahnya akan pergi menunaikan haji.

hampir selang beberapa hari saya akan tanya soalan yang sama, memberikan gambaran bila saya di tanah suci nanti mereka akan tidur tanpa kami.

"adik tidur dengan sapa?' saya tanyakan Humairah pula
"adik tidur dengan Kak Long" jawabnya.

Di ketika yang lain saya tanyakan soalan yang sama tapi berlainan situasi
"nanti ibu pegi haji Mak dengan Nenek tinggal kat sini, adik nak tidur dengan sapa?' tanya saya

Humairah memang lebih matang dari segi percakapan dan perlakuan. tetapi cepat merajuk. kalau merajuk dan tidak dipujuk panjanglah rajuknya. tapi jika dibiarkan dia akan cuba untuk memulihkan keadaan dengan menjadi 'hantu selubung'. Dia akan mencari selimut dan selubungkan kepalanya bergerak ke arah saya. Bila saya buat-buat terkejut, dia akan ketawa dan menjadi ceria semula.

" adik nak tidur dengan nenek" dia membuat pilihan
"adik tidurlah dengan Mak, kan adik suka sikat rambut Mak!" saya memberikan cadangan.

Humairah agak rapat dengan mak mertua saya. Setiap minggu mak mertua saya akan tinggal bersama kami sekiranya tiada apa- apa kenduri di kampung. Dia akan masuk  ke dalam bilik Kak Ngah di mana mak mertua saya tidur, menyikatkan rambut dan berborak-borak dengan Mak. Dia membahasakan dirinya 'saya' kepada Mak.

Bulat mata Humairah, mulutnya mula menganga luas seolah-olah mahu bercakap kuat. Ddengan suara yang agak kuat dia menjawab "Kan adik dah tidur dengan Mak masa ibu pergi kursus haritu!" tegasnya

"oh ok2, adik nak tidur dengan nenek ya"

" ya  lah"

"ibu, adik nak balik rumah nenek lah" tiba-tiba saja dia mengusulkan
"tak payah balik rumah nenek, nanti nenek datang sini. Nenek duduk dengan adik ya.. saya memujuk"

"hmmm..." Humairah mengangguk faham.

"nanti ibu pegi haji adik tak payah sekolah tau, adik dengan Hisham duduk kat rumah dengan Mak dan nenek' saya memberitahu lagi

"tauuuu" jawabnya
maknanya dia telah faham apa yang saya telah rancangkan untuk mereka.

Sediakan anak-anak kita secara emosinya agar mereka tidak terkejut tinggal bersama orang lain, pastinya suasana asing walaupun dalam rumah sendiri. Berikan senario sekerap mungkin agar mereka bersedia secara mental menghadapi situasi yang kita gambarkan.

InshaAllah wahai dhuyufurrahman, anak-anak kita pasti Allah pelihara. Dan semoga kita semua dapat melakukan ibadat haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur. Amiinnn.








Post a Comment

Post a Comment

 
Top