Saya pernah menulis tentang perkembangan kognitif anak. sebagai ibu bapa kita perlu memahami perkembangan asas ini untuk memudahkan kita berkomunikasi dengan anak dengan cara yang efektif dan sesuai dengan tahap mereka. Selain dari perkembangan kognitif, perkembangan emosi adalah salah satu komponen penting yang perlu diberi perhatian. Ramai ibu bapa yang mengakui kurang memahami tentang perkembangan emosi anak-anak, walaupun mengakui tindakan mereka memberi kesan dan pengaruh yang kuat kepada emosi anak-anak.

Perkembangan emosi adalah kebolehan anak untuk membezakan dan menzahirkan emosi mereka dalam cara yang diterima oleh persekitaran sosial dan mampu untuk memahami dan mengawal emosi mereka. Ianya adalah suatu proses yang kompleks, yang bermula sejak dari lahir sehingga ke alam dewasa. Perkembangan emosi ini terbentuk hasil dari pengalaman yang dilalui, pemahaman tentang suatu kejadian dan bagaimana mereka menangani emosi mereka. 

Emosi tidak terbentuk secara sendirian tetapi adalah interaksi dari  proses kognitif dan tingkahlaku, yang turut dipengaruhi oleh faktor sosial, budaya dan konteks di mana ianya berlaku. Terdapat banyak teori berkaitan perkembangan emosi ini tetapi secara umumnya ia dikaitkan dengan perkembangan usia anak sama seperti perkembangan kognitif dan fizikal.

Perkembangan sosial dan emosi seseorang kanak-kanak adalah berkait rapat. Walaupun ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan emosi seorang anak, tetapi dalam konteks di mana kehidupan anak ini semakin luas lingkungan sosialnya maka lebih ramai lagi yang terlibat dan boleh mempengaruhi pembentukan emosi anak ini. Oleh itu dikatakan konteks sosial amat memainkan peranan penting dalam pembentukan emosi seorang kanak-kanak.

Antara emosi pertama bayi yang boleh kita kenalpasti adalah gembira, marah, sedih dan takut. Bayi akan senyum bila mereka gembira dan rasa selamat. Mereka akan menangis sebagai tanda marah, sedih atau takut. Biasanya kehadiran ibu akan menenangkan bayi ini.

Selari dengan perkembangan fizikal dan kognitif serta sosial,  mereka akan membentuk emosi yang lebih kompleks seperti malu, terkejut, rasa bersalah, rasa bangga, rasa empati dan simpati. Namun kebanyakan ekspresi emosi ini dalam bentuk non-verbal. Bila perkembangan kognitif dan pertuturan semakin matang, mereka sudah boleh mengutarakan soalan berkaitan emosi dengan perkataan. Anak-anak sudah mula mengenalpasti peraturan keluarga, sekolah dan sosial berkaitan bagaimana mereka menzahirkan emosi. Mereka sudah boleh memahami emosi orang disekitar mereka, dan dapat membezakan antara emosi positif dan negatif. Namun ini bergantung kepada anggapan dan penerimaan masyarakat dan budaya setempat.

Dalam konteks kehidupan dan interaksi dalam keluarga, emosi negatif boleh wujud terutamanya dalam membentuk disiplin anak-anak. Sebahagian ibu bapa menggunakan kekerasan dengan menghukum anak-anak bila mereka melakukan kesalahan, ini akan menyebabkan emosi negatif dalam diri anak-anak. Ibu bapa yang mengambil pendekatan yang lebih fleksibel seperti memberi sedikit kebebasan kepada anak-anak dalam tindakan atau dalam menangani suatu permasalahan akan menyemai benih keyakinan kepada anak-anak. Biasanya anak-anak yang dibesarkan dengan kaedah begini akan menjadi seorang yang yakin dan emosi yang terbentuk adalah lebih positif walaupun mereka juga pernah dihukum.

Bila anak-anak memasuki alam persekolahan, mereka mula mempelajari mengapa sesuatu emosi itu terjadi. Anak saya pernah bertanya “ibu, kenapa abang rasa tak sedap hati?”. Bantu mereka mengenalpasti sebab perasaan ini wujud dan bagaimana cara menanganinya. Ajarkan mereka strategi untuk menghadapi situasi yang sama pada masa akan datang supaya mereka boleh mengelakkan emosi yang tidak disukai.

Kadangkala kita hanya mengambil mudah bila melihat anak moody selepas balik sekolah. Jangan lakukan kesilapan ini. Pasti anak sedang mengalami sesuatu yang telah mempengaruhi emosinya. Bercakaplah dengan anak, mereka perlukan seseorang untuk membantu mereka menganalisa masalah yang mereka hadapi dan menyelesaikannya.

Hafiz pernah berhari-hari kelihatan tidak berapa gembira pulang dari sekolah dan pernah mengutarakan keinginan untuk tidak hadir ke sekolah. Bila ditanya dia tidak mahu menceritakannya. akhirnya setelah saya selidiki dengan cara yang paling sesuai dengan tahap kognitifnya terkeluar juga cerita dia tidak gembira kerana didenda cikgu. 

Oleh kerana Hafiz memang tidak pernah didenda secara fizikal, Hafiz sangat terkesan. Saya menyelami perasaanya, kekecewaanya bila tidak mendapat penghargaan atas usahanya dalam membuat pembetulan latihan satu subjek "abang buat pembetulan pun asyik salah je, cikgu denda jugak". Dia kecewa, dia tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengan cikgu yang lebih "berkuasa" di kelasnya,

Saya ambil serius masalah ini, berkomunikasi dengan guru yang terlibat dan memberitahu peringkat atasan sekolah. Mungkin ada yang beranggapan saya ibu yang cerewet, tetapi penglibatan ibu bapa dalam menangani emosi anak-anak tidak ada tolak ansurnya. Saya tidak mahu Hafiz rasa terbeban bila ke sekolah kerana terpaksa melihat cikgu yang pernah, akan dan terus mencalarkan emosinya. saya juga perlu memberitahu guru ini bahawa tindakannya tidak membantu anak muridnya untuk berjaya tetapi hanya menjadi lebih takut kepada mereka.

Maklumbalas ini penting agar kesilapan di kedua-dua pihak dapat di perbetulkan. Di pihak Hafiz pula sayalah yang perlu menenangkannya, memberitahu bahawa kita memahaminya, memastikan tindakan penambahbaikan dijalankan agar bila Hafiz melakukan kesilapan dalam latihan dia akan mendapat pengiktirafan atas usahanya dan guru dapat membetulkan kesilapannya.

Perkara seperti ini mungkin tidak terjadi jika saya biasa memukul atau mencubit Hafiz kerana Hafiz mungkin sudah lali dengan dendaan fizikal seperti yang berlaku kepadanya di sekolah. Namun bagi Hafiz, ianya suatu yang amat "traumatic" dan boleh mebawa kepada masalah "school refusal" atau keengganan untuk pergi ke sekolah. 

Impaknya sangat besar dalam kehidupan seorang pelajar. Anda sendiri boleh membayangkan bagaimana tahap keyakinan seorang pelajar yang sering didenda atas kesilapan dalam membuat latihan dalam aktiviti pembelajran, denda tidak perlu untuk mereka tetapi apa yang perlu adalah memberi mereka faham kaedah yang betul; bayangkan juga impak tidak hadir ke sekolah, rugi sepanjang hayat kerana tidak bersekolah, gedung ilmu untuk meneruskan kehidupan sebagai orang yang bijak.

Ibu bapa... jangan ambil mudah bila anak beremosi, guru-guru jangan ambil mudah jika anak murid kecewa dan sentiasa salah dalam membuat latihan di dalam kelas, mungkinkah mengalami mengalami masalah pembelajaran. 

Keyword di sini adalah ...selidikki dan baiki apa yang perlu. 

In sha Allah, profession perguruan adalah suatu yang amat mulia. saya pernah menjadi guru ganti untuk pelajar tahun 1, sedikit sebanyak saya faham kesukaran guru-guru semua. saya di pihak anda semua namun saya juga seorang ibu.

Semoga kemasukan kali ini membantu pengunjung blog saya untuk terus menjadi ibu bapa dan guru yang prihatin terhadap perubahan emosi anak-anak. 


Post a Comment

Post a Comment

 
Top