Sambungan kisah penyiasatan sosial dalam kemasukan yang lepas...kami (Dr Nizam, Dr Shahril, SN Rohani, Ilyani dan Syafikah) meneruskan perjalanan ke sebuah sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi  (PPKI) untuk melihat sendiri bagaimana pergaulan seorang pelajar yang dirujukkan kepada kami kerana masalah tingkahlaku.

Sekolah ini adalah dalam daerah Kota Bharu. Kami tiba di sekolah tersebut lebih kurang jam 11.45 pagi. Van melewati pondok pengawal keselamatan sekolah. seperti biasa pemandu van HUSM mengangkat tangan memberikan isyarat memohon masuk. Usai melihat lambang USM di van kami, pengawal keselamatan mengangkat tangannya sambil tersenyum memberi kebenaran kepada kami.

Van berhenti di perkarangan sekolah di mana kakitangan memarkir kenderaan mereka. Kelihatan bendera Malaysia dan negeri Kelantan berkibar di kawasan gelanggang tempat perhimpunan pagi. Kami turun dari van dan memerhatikan persekitaran sekolah yang begitu berwarna warni. Bangunan agak rapat-rapat, terpampang jelas di tepi gelanggang badminton "countdown board" menghitung hari-hari sebelum tibanya peperiksaan UPSR yang hanya tingal 7 hari sahaja lagi. Masing-masing memandang antara satu sama lain tidak pasti haluan mana yang perlu kami tuju, Semua memandang SN Rohani.

"gi mana kak Ani?" tanya saya

"Cikgu K tak jawab telefon" ...memberitahu bahawa lawatan kali ini tidak dimaklumkan kepada guru pendidikan khas yang bertanggungjawab, sambil melihat telefon beliau sekali lagi.

" kita gi je lah kelas khas ..." kata Kak Ani memberi cadangan seraya memandang saya seolah-olah meminta izin. Saya pun memalingkan kepala ke arah kanan sebagai isyarat setuju dan berkata "jom!"

Kami bergerak melalui tepi bangunan ke arah kelas PPKI diketuai oleh Kak Ani kerana beliau telah beberapa kali ke sini. Hiasan taman yang dipenuhi dengan bunga-bungaan amat menarik tetapi pada pengamatan saya ianya kelihatan agak sesak sedikit. Apakah ianya sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah rendah yang kerap berlari-lari di kawasan sekolah?

Kami menuruni empat anak tangga dan berselisih dengan seorang kakak tukang sapu di tepi bangunan sekolah. Dia berhenti memberi laluan kepada kami. Kami senyum sambil berborak sesama sendiri memberikan pandangan masing-masing tentang hias taman sekolah, tanpa menghiraukan kakak tukang sapu itu yang seolah-olah ingin membantu. Tetapi oleh kerana kami tidak menunjukkan tanda-tanda ingin bertanya maka dia meneruskan perjalanannya ke arah bertentangan dengan kami.

"sesat saya kat sekolah ni..." kata saya mengimbas kembali laluan ke kelas PPKI ini,
"belok-belok" sambung saya

Yang lain senyum sahaja mendengar komen saya.

Kak Ani telah berhenti di depan kelas pertama. bangunan ini mempunyai 5 kelas, tetapi saya tidak dapat mengesahkan kerana kami tidak habis menelusuri bangunan tersebut. Kak Ani bertanyakan guru yang sedang mengajar di mana kelas PPKI. Guru bertudung labuh itu keluar dari kelas berdiri di muka pintu dan menunjukkan arah kelas PPKI yang baru iaitu di belakang kantin sekolah. Mesra sungguh dia memberikan bantuan jelas kelihatan dari senyumannnya dan keramahannya.

Kak Ani mengucapkan terimakasih seraya mengatakan "patut lah napok mace buke pelajar khas dale kelah  ssini". tersengih-sengih yang lain kerana jurupandu telah salah lokasi.

"ppindoh doh" kat kak Ani melewati kami yang berdiri menunggunya
"dulu ssini" kata Kak Ani dalam loghat kelantannya, sambil mulutnya memuncung ke arah bangunan tadi.

Maka berjalan lah kami seperti anak-anak itik mengikut ibunya ke lokasi baru kelas PPKI. Itulah senario biasa semasa lawatan ke sekolah, kak Ani lah orang depan yang akan memperkenalkan kami semua kepada pihak sekolah.

Setelah puas mencari akhirnya kami temui juga kelas PPKI yang agak jauh terasing di belakang kantin sekolah. Bangunan yang baru dibina, berkeluasan seperti tiga buah rumah teres.

Dari jauh telah kedengaran bising suara pelajar-pelajar tidak seperti kelas biasa. Kelihatan selipar dan kasut tersusun di depan pintu masuk utama kelas tersebut. Kami memberi salam didahului oleh Kak Ani. Kak Ani memberitahu guru-guru yang sedang berkumpul di ruang utama kelas PPKI tersebut tujuan lawatan kami dan memohon maaf kerana tidak memeklumkan mereka terlebih dahulu. Kebanyakan guru-guru adalah guru perempuan. Perbualan guru-guru terhenti dengan kehadiran kami.

Kemeriahan dan keriuhan dalam kelas PPKI jelas berbeza dengan kelas biasa.

Salah seorang guru membawa kami melalui lorong antara bilik-bilik darjah yang agak kecil seluas lebih kurang 10 x 8 kaki persegi. Guru tersebut berhenti di hadapan kelas di mana Aliff sedang belajar.

Saya memerhatikan kelas Aliff, ketika itu cikgunya sedang mengajar tentang kebersihan diri. Saya tertanya-tanya yang mana satu Aliff dan Dr Nizam menunjukkan Aliff yang agak kecil jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain.

Dia memakai kupaih dan duduk diapit oleh dua orang pelajar yang lain duduk dalam susunan mengelilingi meja seramai 6 orang. Tidak kelihatan seperti dia ganas dan jika dilihat perwatakannya juga lembut.

Seorang guru lelaki muda berambut ikal kelihatan begitu mesra dan ceria, sentiasa tersenyum sedang memegang sebatang berus gigi gergasi menyandar di dinding sambil berseloroh dengan pelajar-pelajar dalam kelasnya.

"Nampak ok je... well behave" kata saya
"kat klinik pun macam tu Dr Zila" Kata Dr Nizam.

"Masuklah doktor -masuklah" Cikgu L mempelawa saya masuk ke kelas Aliff.
saya pun melangkah masuk dan berdiri sekaki dari muka pintu kerana kelas itu agak sempit.

" belajar apa ni?" sambil tersenyum memerhati satu-persatu 6 orang pelajar dalam kelas itu yang kebanyakannnya semua lelaki kecuali seorang perempuan.

Setiap bilik darjah dibina dari kayu sehingga paras pinggang bahagian atasnya adalah cermin gelap yang membolehkan kami melihat mereka dari luar. Tumpuan pelajar-pelajar beralih kepada saya yang bertanyakan hal mereka.

"belajar kebersihe diri!" laung salah sorang pelajar sambil diusik oleh pelajar-pelajar lain.
"Royaklah kebersihe diri lagiu mano?" celah Cikgu L yang memerhati dari sudut dalam bilik darjah.

"Berus gigi berapo kali?" tanya nya lagi sambil menunjukkan berus gigi gergasi kepada pelajar-pelajar dalam kelas tersebut.

"meriah.." kata saya kepada cikgu L seraya melangkah keluar untuk bergerak kemeja perbincangan.

Tiada ruang khas untuk perbincangan, maka kami mengambil satu sudut dihujung kelas sebelum pintu ke tandas berhadapan bilik guru. Terdapat sebungkus roti di atas meja panjang yang dihimpitkan di tepi dinding. Juga terdapat satu balang besar yang penuh dengan duit kertas gergasi RM 50 dan nilai yang lain... pastinya untuk pembelajaran matematik, kata saya dalam hati.

Kelam kabut guru-guru mencarikan kami kerusi untuk duduk diruang yang agak sempit itu. Doktor Nizam mengetuai perbincangan dengan Cikgu Z iaitu guru kelas Aliff.

Menurut cikgu Z Aliff memang lain dari yang lain. Mulutnya "celupar" tak bertempat dan bahasanya macam gaya gangstar.

Sepanjang pengalaman cikgu Z di kelas itu menjaga ramai lagi pelajar berkeperluan khas, belum pernah dia berjumpa pelajar yang 'kasar" seperti Aliff.  Dia mempunyai 9 orang adik beradik dan sering menjadi sasaran sekiranya sesuatu tidak kena dalam rumahnya.

Dipendekkan cerita Aliff memang sentiasa ketinggalan dan ditinggalkan. Dia tidak di bawa berjalan-jalan seperti adik beradiknya yang lain, kalau ada sesuatu yang tidak kena "ini mesti sebab Aliff" dan macam -macam lagi. Alif sentiasa menjadi mangsa dalam rumahnya. Tiada siapa yang menyokong dia. Kenapa jadi begitu tiada siapa yang tahu.

Apa yang mengejutkan kami adalah Aliff pernah membawa pisau ke sekolah untuk "mempertahankan" dirinya. Dia amat marah jika diperlekeh oleh kawannya, hatta jika dia membaca dan ditegur kawannya "lambatnyo baco!" dia akan cepat melenting.

Aliff hiperaktif semasa kecil dan juga mengalami masalah kurang tumpuan, namun kini hiperaktif itu sudah tidak ketara lagi, namun tumpuannya masih kurang.

Cikgu Z memberitahu, Aliff mudah "makan pujuk".
"Dengan saya dia jarang melawan" kata Cikgu Z
"kena gayo sokmo.." kata Cikgu Z lagi menjelaskan tips menangani maaslah Aliff yang mudah berang.

"Bila kita puji dia, dia nak buat aktiviti yang sama je, tak mau ikut jadual kelas. Contohnya buat corak batik, nak buat batik saja... mana boleh kan, kalau kita halang, dia jadi marah" jelas Cikgu Z lagi.

Aliff pernah bertumbuk dengan rakannya di luar kelas sehingga berdarah sehingga melibatkan ibu bapa pelajar terlibat. Dia akan minta dilepaskan awal jam 12.30 tengahari dan mengikut pengawal sekolah, aliff selalu bertumbuk di tepi pagar sekolah.

Kata-kata Aliff sungguh menyakitkan hati. Dia tidak mempunyai rasa hormat "mu sapa?" "babi" dan segala sumpah seranah adalah perkataan yang biasa keluar dari mulut Aliff.

Cikgu Z pun sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan. Aliff pernah di denda dan dikurung kerana terlalu biadap. Dia akan insaf sekejap sahaja, dan akan mengulangi perbuatan yang sama.

Pada pandangan Cikgu Z, Aliff jadi begitu bukan dari apa yang dipelajari di sekolah tetapi adalah modelling apa yang berlaku di rumah. Saya pun tidak berani mengulas lanjut perkara ini kerana setiap kali datang ke klinik Aliff hanya bersama ibunya sahaja. Ayahnya tidak pernah datang memberikan pandangan atau maklumat.

Ayah Aliff berpoligami dan mempunyai anak yang ramai. Setakat mana ibu dan ayah memainkan peranan dalam tingkahlaku Ariff ini tidak dapat kami pastikan. apa yang berlaku di rumah dan bagaimana mereka berinteraksi berkmungkinan besar adalah punca utama mengapa Ariff bertindak begini.

Adalah mustahil seorang anak bercakap kasar secara tiba-tiba. Pastinya dia telah "biasa" dengan keadaan begitu lantas dizahirkan dalam perwatakannya.

Kisah Aliff ini adalah satu contoh yang amat sukar untuk ditangani dan ianya tidak akan berjaya tanpa kerjasama ibu bapa dan guru-guru. Namun sekiranya ibu bapa melepaskan masalah tersebut kepada "pihak doktor" saya pasti ariff akan kekal begini.

Mengapa saya katakan ianya sukar? Analisanya begini. Keluaga Aliff besar, adik beradik Aliff 9 orang. Ayahnya pula mempunyai isteri yang lain dan ada tanggungjawab yang sama terhadap isteri ke dua dan anak-anaknya.

Sumpah seranah dan kata-kata kesat adalah "bahasa" di rumah Aliff, Jika di sekolah Aliff berjaya diubah menjadi seorang yang bersopan santun, bayangkan apa jadi bila Aliff kembali ke rumah setiap hari? Lambat sikit dimarahi, buat silap sikit dimaki hamun, kesalahan orang lain Aliff juga yang kena tuduh. Kecewanya Aliff, emosinya tercalar. Dia tidak dapat membela dirinya di rumah. Dia tidak "mempunyai harapan" untuk dibela.

Justeru itu Ariff bertindak ganas di sekolah, sesiapa yang pada pandangannya "mencabar" dia akan mempertahankan dirinya. Ini sajalah arena tempat Aliff boleh menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Di rumah dia tidak berkuasa dan tidak boleh bersuara.

Aliff juga mencari kasih sayang dari "ibu dan ayah" di sekolah. Dia seronok bila dipuji dan ingin bermanja-manja meminta lebih dari orang lain. Malangnya Aliff salah tempat kerana sekolah ada peraturan dan jadual. maka sebab itu Aliff kecewa dan memberontak bila apa yang dihajatinya tidak dipenuhi oleh guru-gurunya.

Cara Aliff bertindak bila kecewa akan menggambarkan situasi sebenar dia ketika berada di rumah. Saya rasa insaf bila mengingati kisah Aliff.

Saya analisa kembali bagaimana anak-anak saya berinteraksi, menyelesaikan masalah dan mengendalikan emosi mereka ketika marah atau kecewa. Semuanya adalah gambaran apa yang saya dan suami saya lakukan. Dalam refleksi itu saya sedar ada banyak perkara yang perlu kami perbaiki sebagai ibu bapa. Tugas ibu bapa mendidik anak-anak bukan lah suatu yang mudah. Kita harus terus belajar dan belajar.

Anak-anak adalah harta akhirat yang akan mendoakan saya di alam barzah nanti, maka apalah nasib ibu bapa yang anak-anaknya tidak berakhlak mulia, atas sebab kegagalan mendidik? Mohon Allah lindungi kita semua dari sikap sedemikian.

Sebenarnya hidup kita adalah bagaimana kita mengawal emosi kita, jangan sampai emosi mengawal kita. Sekiranya kita gagal memahami mengapa kita beremosi dan membiarkan emosi mengawal diri kita, maka lihatlah keruntuhan diri kita. Bertindak tidak berlandaskan iman tetapi nafsu. Bila nafsu amarah telah menyerang... syaitan pun bersorak kegembiraan!

Berbalik kepada kisah Aliff,  saya pasti semua guru-guru PPKI di sekolah ini sering mebincangkan hal Aliff, namun tidak banyak yang boleh mereka lakukan kerana sekolah adalah transit sahaja, Aliff akan kembali ke lubuk di mana sumpah seranah menjadi halwa telinganya. Kalaulah Aliff boleh memekakkan telinga atas sumpah seranah keluarganya, apa pula tindakan dan cemuhan ahli keluarga lain yang menyumpah perubahan Aliff? Pasaknya telah kukuh, maka memang sangat sukar untuk mengubahnya.

Saya sendiri tidak tahu sejauh mana dapat membantu Aliff, kalau setiap kali temujanji hanya ibunya sahaja yang hadir. Bila pula ayahnya akan mengetahui hal Aliff, saya pasti jika ibunya yang memberitahu kepada ayah Aliff perancangan yang perlu, sudah pasti ayah Aliff tidak akan menerima. Itu kebiasaan yang berlaku dalam keluarga, justeru itu perlu ada seseorang yang "neutral" yang boleh membantu perbincangan secara sihat. Mari kita doakan semoga masalah Aliff menemui jalan penyelesaian.

Kes ini saya kongsikan untuk mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak belajar dari apa yang ibu bapa lakukan dan bicarakan. kalau kita menyumpah mereka akan menyumpah. kalau kita sombong, mereka kan sombong, kalau kita lembut mereka juag akan lembut. Inilah yang dipanggil modelling.

Kalau kita mahu melihat bagaimana diri kita, lihatlah anak-anak kita. merekalah gambaran diri kita.

Habis satu babak....

Babak seterusnya berkaitan penempatan pelajar berkeperluan khas di PPKI. Kalau dalam keadaan begini, saya memikirkan bagaimana agaknya kalau sekadar disleksia terpaksa diletakkan di sini? Langsung tak sesuai!!! Dilema juga kepada kami pengamal perubatan yang mencadangkan penempatan pelajar di PPKI.

Bila guru-guru PPKI menolak kemasukan seorang pelajar, macam-macam respon yang pernah saya dengar. Ada ibu bapa yang kecewa (bagi mereka yang berharap anaknya ditempatkan di PPKI). Bagi guru-guru di PPKI pula, ada guru-guru yang merasa hairan mengapa ibu bapa mahu menghantar pelajar yang ada potensi belajar di aliran perdana masuk PPKI.

Bagi guru aliran perdana pula... berharap pelajar ini mendapat tempat di PPKI kerana kehadiran mereka memang melambatkan proses pembelajaran dalam kelas yang seramai 45-50 pelajar itu. Banyak bebanan lain yang terpaksa guru-guru ini pikul selain mengajar.

Siapa yang menjadi mangsa... pelajar!

Secara amnya, pelajar dengan masalah disleksia atau sedikit kesukaran pembelajaran memerlukan satu sistem yang sesuai dengan tahap kesukaran pembelajaran mereka. Mari kita lihat bagaimana sistem pendidikan di Singapura seperti yang diceritakan sendiri oleh adik-adik kawan saya warga Singapura yang bertugas sebagai guru dan pembantu guru.

Namun kemasukan kali ini telah terlalu panjang, maka ...nantikan kupasan berkaitan isu penempatan pelajar dengan masalah kesukaran belajar ini pada kemasukan akan datang. Akan saya kupas juga peranan educational psychologist sepertimana janji saya pada kemasukan yang lepas.

Suasana di kelas PPKI di mana Ariff belajar




Post a Comment

Post a Comment

 
Top