Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis yang terlibat secara langsung dalam menangani pelajar-pelajar berkeperluan khas (BK) di Malaysia dari sudut kesihatan mental (lebih spesifik di negeri Kelantan), juga pengalaman mempunyai 3 orang anak yang sempat belajar di Australia selama 3 tahun.

Semalam saya membaca beberapa artikel dalam talian berkaitan pendidikan anak-anak dengan keperluan khas (BK). Oleh kerana saya pernah tinggal di Australia maka ianya menjadi tempat pertama yang saya lawati. Saya juga membaca tentang sistem pendidikan di Singapura dan membandingkannya dengan di Malaysia. Kemasukan kali ini saya kongsikan kupasan antara sistem pendidikan untuk pelajar BK di Australia dan Malaysia. Semoga ianya dapat memberikan gambaran yang lebih jelas dan dapat melihat di manakah kelebihan sistem pendidikan Malaysia/Australia untuk penambahbaikan.


Seperti di Malaysia, anak-anak BK di Australia dikenalpasti oleh ibu bapa mereka sendiri, doktor perubatan di klinik Swasta (dipanggil GP/ general practitioner), atau guru-guru sekolah. Kita perlu memahami bahawa di Australia sistem kesihatan tidak sama seperti di Malaysia. Mereka perlu mempunyai kad medicare untuk mendapatkan rawatan di Klinik atau hospital. Diringkaskan cerita perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan di Malaysia adalah percuma tetapi di Australia mereka perlu membayar samada bayar dahulu (walaubagaimanapun bil ini boleh dituntut semula) atau terus di bilkan ke dalam sistem medicare. Ubat-ubatan juga perlu dibeli di farmasi. Begitu juga segala penilaian yang dijalankan perlukan bayaran sedangkan di Malaysia selagi ianya dijalankan di hospital kerajaan semuanya dalah percuma.

Berbalik kepada pengesanan anak BK ini, sekiranya pengesanan berlaku di sekolah, guru-guru yang mendapati kelainan dalam perkembangan pelajar tersebut di sekolah, akan berbincang dengan ibu bapa pelajar dan mencadangkan untuk pelajar ini dinilai oleh "educational psychologist" atau pakar psikologi pendidikan (di Malaysia kita tidak mempunyai "educational psychologist" yang ditempatkan di jabatan pendidikan seperti di Australia). Pakar psikologi pendidikan ini menjalankan penialian dan di mana perlu akan mencadangkan penilaian lanjut bergantung kepada keperluan pelajar ini, samada mereka perlukan bantuan jurupulih pertuturan, jurupulih carakerja atau penilaian pendengaran atau penglihatan (pakar telinga atau mata). Ini dipanggil penilaian multidsiplin atau  "multidisiplinary team (MDT)  assessment". Acapkali penilaian perlukan beberapa kali perjumpaan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. 

Selesai penilaian MDT, pakar-pakar ini akan menyediakan satu laporan yang lengkap untuk diberikan kepada ibu bapa. Mereka menerangkan kelemahan dan kelebihan pelajar, juga memberikan pandangan tentang bagaimana untuk membantu pelajar ini. Ada kalanya anak ini juga dinilai oleh pakar psikiatri untuk memastikan sesuatu diagnosis. Diagnosis ini tidak akan mengubah anak ini tetapi ianya menerangkan apa yang mampu pelajar ini lakukan. Perkara utama dalam penilaian MDT ini adalah saranan intervensi yang sesuai. walaubagaimanapun, ada juga ibu bapa yang tidak mahu menjalani penilaian MDT ini.

Setelah mendapat laporan ini ibu bapa dan guru-guru akan berbincang tentang persekolahan yang sesuai untuk pelajar. Ibu bapa boleh memilih sekolah aliran perdana, sekolah pendidikan khas atau sekolah Katholik. Ada juga yang memilih "home schooling" tetapi mereka tetap mendaftarkan anak mereka dengan dengan jabatan pendidikan untuk memudahkan menerima bantuan kewangan dan sokongan yang lain berkaitan pendidikan. Ada juga yang memilih untuk mendaftarkan anak mereka di dua sistem pendidikan iaitu sekolah aliran perdana dan sekolah khas. Mereka bebas membuat pilihan.

Di pihak sekolah pula guru-guru akan membincangkan kes secara individu termasuk apakah peruntukan yang layak untuk pelajar ini. Ini termasuklah bantuan kewangan untuk mengupah guru pembantu atau ubahsuai sekolah yang diperlukan untuk pelajar ini. Kerajaan Australia memperuntukkan sejumlah besar wang untuk membantu kanak-kanak dengan keperluan khas ini untuk memastikan mereka mendapat peluang yang sama belajar di sekolah yang sama dengan rakan-rakan yang bukan tergolong dalam kategori BK (sila baca tentang pendidikan inklusif dalam kemasukan yang lalu).

Nampak jelas di sini bahawa guru-guru telah bersiap sedia untuk membantu pelajar ini sebelum seorang pelajar itu masuk ke sekolah atau bersedia melakukan ubahsuai untuk memenuhi keperluan individu pelajar BK. Mereka akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perancangan pendidikan (Individual education plan/IEP) untuk pelajar ini. Mereka juga dihantar menjalani latihan dalam perkhidmatan yang berterusan untuk membantu melengkapkan diri dengan keperluan pelajar mereka. Perlu diberi perhatian di sini, walaupun seorang pelajar mempunyai masalah atau diagnosis yang sama, kebolehan dan kelemahan mereka berbeza-beza, justeru itu IEP adalah sangat penting bagi mereka.

Kita lihat pula bagaimana penilaian seorang pelajar BK di Malaysia. Sistem pengesanan pelajar BK di Malaysia agak ketinggalan (kerana Australia adalah negara membangun sedangkan Malaysia sedang membangun). Pasti ada yang tidak setuju dengan pendapat saya... ini adalah pendapat peribadi berdasarkan pengalaman menerima rujukan dari doktor-doktor di Klinik Kesihatan.

Kita sebagai ibu bapa adalah orang yang paling memahami anak kita. Kita tahu apa yang mereka suka makan, suka pakai, permainan yang diminati, bagamana mahu memujuk bila mereka merajuk atau bagaimana memastikan mereka mandi pada waktu pagi, berapa panas air perlu untuk minum atau susu dan sebagainya.

Kita juga akan tahu sekiranya anak kita itu lambat perkembangan fizikalnya atau kognitifnya bila kita bandingkan dengan anak-anak orang lain. Jadi pengesanan tanda dan gejala lewat perkembanagn ini biasanya di kesan oleh ibu bapa sendiri dengan syarat ibu bapa ini berilmu. Maksud saya adalah ibu bapa perlu sedikit sebanyak mengetahui tahap dan perkembangan anak-anak seusia anak mereka. Ilmu ini tidak semestinya secara formal, tetapi kita boleh dapat dari pemerhatian anak-anak sahabat atau keluarga kita, dari perbincangan atau dari pembacaan. 

Namun dikalangan masyarakat Malaysia (bukan semua) kita memang selesa dengan sikap "tak apa lewat sikit" atau kadang-kadang kita diberitahu oleh emak kita

 "sepupu awak dulu pun lambat berjalan, atau lambat bercakap tunggu je lah sampai 4 tahun nanti baru pegi jumpa doktor"

Kita pun merasa senang hati sebab itu pengalaman emak kita dan berharap anak kita akan mengikut jejak langkah sepupu kita itu, rupa-rupanya ianya tidak menjadi kenyataan. Maka bila anak kita dibawa berjumpa dengan pakar usianya sudah 4 atau 5 tahun. Ini memang sudah agak lewat jika dibandingkan pengesanan di Australia. 

Sekiranya kita mempunyai ilmu, sudah pasti kita kan mendapatkan pandangan dari orang lain yang lebih arif atau bertanyakan kemusykilan ini kepada pakar. Kesilapan kita adalah bertanyakan sesuatu dengan yang bukan pakar maka kita akan mendapat jawapan yang separa betul atau lebih teruk lagi jawapan yang salah. Maka ingin saya tekankan di sini carilah ilmu, saya tekankan sekali lagi carilah ilmu keibu bapaan ini... ilmu yang lengkap dari penilaian tumbesaran dan masalah yang mungkin dihadapi sepanjang anak-anak kita membesar.

Ingatlah bahawa anak adalah harta yang paling berharga. Bila terdapat ketidakpastian dalam apa jua sudut kehidupan mereka, pastikan kita bertanya kepada yang pakar bukan separa pakar atau yang main teka-teka sahaja. Walaupun anak kita mempunyai kekurangan tapi ingatlah bahawa Allah tidak zalim, pasti ada jalan membantu mereka untuk hidup dengan lebih baik dan dapat memberikan ketenangan kepada kita kedua ibu bapanya.

Dalam konteks Malaysia, kita sering dimomokkan dengan kesukaran mendapatklan bantuan pakar kerana sistem hirarki yang begitu menyusahkan pelanggan (sesuatu perlu dilakukan tentang sistem ini). Ada kakitangan barisan hadapan yang garang tak menentu, ada yang tidak tahu tetapi seolah-olah tahu, ada yang malas nak melayan panggilan telefon, ada yang kurang bertimbangrasa memberikan tarikh temujanji yang lain ketika pesakit datang lewat, namun tidak kurang yang sangat prihatin dengan masalah pesakit, mengambil nombor telefon pesakit dan menelefon semula untuk memberikan maklumat sebenar. Ini bukanlah fakta am tetapi lebih kepada individu terlibat. 

Agak jauh berbeza dengan masyarakat barat yang mudah tersenyum walaupun dalam keadaan terpaksa, terutamanya di kaunter pendaftaran. Mereka melayani pelanggan dengan begitu mesra walau mereka tidak mengenali kita apatah lagi melihat kita sebagai warga asing di negara mereka (ini juga berdasarkan pengalaman penulis sepanjang berada di Australia). Jarang sekali saya berhadapan dengan masalah di kaunter pendaftaran.

Pengalaman seperti yang saya nyatakan di atas adalah senario "biasa" di Malaysia. Walaupun saya seorang doktor, bila saya pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan tanpa memperkenalkan diri sebagai seorang doktor pasti ada kakitangan yang muka masam. Terasa begitu kecewa dan geram bila berhadapan dengan mereka yang di barisan hadapan ini yang sepatutnya memberi dan memerhati dengan lebih prihatin keperluan pelanggan. Pun begitu saya memahami mungkin mereke mempunyai masalah peribadi yang menyebabkan gangguan emosi, namun tahap layanan di kaunter-kaunter utama perlu ditingkatkan agar pelanggan merasa kehadiran mereka bukanlah masalah.

Dalam isu kakank-kanak atau pelajar-pelajar BK ini kebanyakan hospital di Malaysia memerlukan rujukan dari doktor di hospital kerajaan (saya tekankan sebab ada yang tidak menerima rujukan dari hospital swasta.. saya pun tidak faham mengapa). Setelah mendapat rujukan dari doktor, ibu bapa perlu membawa anak mereka ke hospital daerah/besar di mana terdapatnya perkhidmatan psikiatri. Penilaian terus dari pakar psikiatri memberikan kemudahan kepada ibu bapa untuk mendapat diagnosis sekiranya tidak rumit dan boleh terus mendapatkan pengesahan sebagai 'Orang Kurang Upaya' (OKU).

Jika mereka datang ke hospital daerah pula kebanyakan doktor tidak berani untuk mebuat diagnosis sekiranya mereka tidak pernah bertemu dengan kes seperti ini, apatah lagi kesukaran dalam pembelajaran adalah satu bidang yang sangat "subspecialized". Doktor akan merujukkan anak ini ke hospital besar pula. Tempoh masa yang panjang untuk seseorang pelajar dilihat oleh pakar psikiatri secara purata adalah 9 bulan (kajian di HUSM Kubang Kerian).

Maka masa terbuang begitu saja dan anak-anak kita terus ketinggalan dalam pelajaran kerana guru-guru (secara semulajadinya) akan menunggu pengesahan doktor untuk memastikan anak ini dalam kategori OKU dan boleh ditempatkan di Program Pendidikan Khas integrasi (PPKI). Ada juga keadaan yang agak teruk terutamanya yang melibatkan masalah tingkahlaku yang mengganggu, maka pelajar ini akan diasingkan dari kelas atau terus dimasukkan ke PPKI tanpa menunggu pengesahan pakar (atas inisiatif guru tersebut). Ini adalah senario sekiranya sekolah tersebut memepunyai PPKI. Namun kebanyakan sekolah yang tidak mempunyai PPKI akan terus meletakkan kanak-kanak ini di kelas hujung. Perlu diketahui bahawa Malaysia masih mengamalkan sistem segregasi dalam sistem pendidikan walaupun kebanyakan negara-negara yang lain telah maju ke arah sistem inklusif.

Sistem segregasi ini akan meletakkan murid yang paling pandai dalam kelas pertama, diikuti dengan yang pandai kelas ke 2, sederhana pandai kelas ke 3 dan seterusnya, bermakna kelas terakhir adalah kelas yang paling "tidak pandai"! Di sinilah anak-anak kita dilambakkan bersama-sama anak autism, hiperaktif, yang kurang tumpuan, yang lembam, yang tak pandai menulis, yang suka keluar kelas, yang tidur dalam kelas, yang suka kacau pelajar lain, yang suka menjerit dan berbagai lagi masalah tingkahlaku.

Guru yang mengajar dalam kelas ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, dan saya benar-benar kagum dengan guru-guru ini. Sedangkan dari hati seorang guru di aliran perdana, mempunyai seorang pelajar yang suka membuat kacau di dalam kelas sudah menyebabkan guru ini pening kepala inikan pula mempunyai 30 atau 40 pelajar yang semuanya bermasalah. Jika saya yang menjadi guru tersebut saya pun pening kepala! Andainya sistem pendidikan tidak kisahkan silibus yang perlu dihabiskan mengikut penggal persekolahan, mungkin guru ini akan berkerja dengan lebih gembira, tetapi apabila terdapat tekanan untuk menghabiskan silibus, ini menyebabkan guru-guru menjadi sangat tertekan, dan mula membiarkan pelajar yang tidak mahu belajar.

Pernah saya bercerita dengan guru pendidikan khas yang menangis menceritakan bagaiamana beliau ditanya oleh pegawai dari jabatan pendidikan (kalau tak silap)...

"apa yang cikgu buat dalam kelas? Kenapa pelajar ni masih tak pandai membaca, kan cikgu dapat elaun khas!"

Masha Allah saya yang mendengar pun tersentak.

Sebagai manusia biasa, saya berasa amat simpati dengan guru ini dan tidak keterlaluan pada tahap ini wujud perasaan "geram" kepada pegawai pendidikan yang tidak menghargai apa yang guru ini telah lakukan, sedangkan beliau tidak pernah tahu bagaimana sukarnya mengajar pelajar tersbut, apatah lagi bila saya lakukan penilaian dan ujian IQ pelajar ini termasuk dalam kategori "intellectual disability" atau terencat akal. 

Bukanlah saya hendak menyalahkan mana-mana pihak dalam contoh ini tetapi ambillah iktibar. Pengalaman saya dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan amat saya hargai atas segala usaha mereka terutamanya di Sektor Pendidikan Khas. Kebanyakan pegawai-pegawai pendidikan mempunyai pengalaman menjadi guru pendidikan khas atau telah lama terlibat dalam bidang ini. Kami mengadakan mesyuarat bersama, mereka juga bertanya jika terdapat kemusykilan.

Begitu juga kami di pihak kesihatan mental, sekiranya ada perkara yang kami kurang pasti atau prosedur-prosedur yang kami rasakan hanya melambatkan proses penempatan pelajar BK ini, kami sama-sama ubah. Sistem rujukan ke pakar psikiatri, psikologis, jurupulih pertuturan dan carakerja mungkin agak berbeza dengan sistem yang terdapat di hospital-hospital lain. Secara ringkasnya HUSM memudahkan urusan rujukan ke pakar psikiatri di mana guru-guru boleh terus mendapatkan temujanji dari Klinik tanpa perlukan surat rujukan doktor perubatan.

Sebagai seorang pakar psikiatri dan mempunyai minat yang sangat mendalam dalam permasalahan pembelajaran di kalangan pelajar sekolah saya akan cuba memudahkan urusan ibu bapa dan guru-guru agar anak-anak kita mendapat perkhidmatan yang terbaik.

Saya akan sambung tajuk ini dalam kemasukan yang akan datang tentang di mana kita boleh menambah baik sistem pendidikan kita terutamanya keperluan psikologis pendidikan dalam sistem pendidikan di Malaysia. 


Jangan lupa ikuti kemasukan yang akan datang

Kenangan klinik ibu dan anak di Clayton

#DNZ #DRNORZILA #drnorzilazakariapakarpsikiatri


Post a Comment

Post a Comment

 
Top