Semalam 8 Oktober 2013 adalah hari pertama saya kembali bertugas di klinik kanak-kanak dan remaja. Saya mula kan klinik dengan sedikit perbincangan bersama jururawat-jururawat unit kanak-kanak dan remaja dan juga ketua jururawat di klinik. Nampaknya mereka masih seperti 4 tahun yang lalu, amat bersemangat untuk meneruskan aktiviti bersama unit ini demi pelajar-pelajar sekolah.

Antara permasalahan yang ditimbulkan adalah rujukan yang banyak untuk penilaian IQ  dari pihak guru-guru sekolah. Mereka adalah pelajar-pelajar yang gagal ujian LINUS (Saringan Literasi dan Numerasi / Literacy and Numeracy Screening) yang dijalankan oleh pihak kementerian pendidikan. pelajar-pelajar yang terlibat adalah pelajar-pelajar di akhir tahun 3 persekolahan pada peringkat rendah. Program ini adalah program pemulihan untuk memastikan murid-murid yang mempunyai masalah 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira menguasai kemahiran asas ini. Guru-guru mahu mengetahui status IQ pelajar-pelajar yang gagal ujian LINUS ini untuk penempatan yang sesuai di sekolah. Tidak saya nafikan bahawa penilaian IQ amat penting untuk mengetahui punca sebenar pelajar ini gagal menguasai 3M tapi persoalannya apakah kemampuan kita sekiranya semua guru mahukan penilaina IQ dijalankan?

Maka setelah berbincang dengan mereka, saya lontarkan persoalan "Sampai bila kita harus melakukan rutin yang sama?" sedangkan kakitangan unit ini masih dalam bilangan yang sama tetapi permintaan semakin tinggi. Dalam kata lain modal tidak setara permintaan!

Justeru jawapannya adalah kita kena bergerak ke peringkat yang lebih tinggi yang melibatkan kementerian pendidikan agar masalah pembelajaran ini dapat di atasi bersama-sama. Maka saya fikir sudah tiba masanya untuk kementerian pendidikan duduk semeja dengan kami di kesihatan mental, berbincang tentang isu-isu sebegini dalam konteks Malaysia. Tidak ada niat untuk menuding jari walaupun beban kerja semakin meningkat tetapi kami ingin meningkatkan kerjasama agar isu kanak-kanak dengan masalah pembelajaran dapat diselesaikan. Antara dilema yang kami hadapi adalah:

  • rujukan yang banyak dari pihak sekolah untuk penilaian IQ kanak-kanak yang gagal LINUS
  • pendaftaran kanak-kanak dengan masalah pembelajaran sebagai orang kurang upaya vs stigma
  • penempatan kanak-kanak dengan masalah pembelajaran di kelas pendidikan khas vs perlaksanaan pendidikan inklusif yang sedang diusahakan oleh pihak kerajaan
  • Tafsiran kanak-kanak yang disruptif sebagai kriteria penolakan dalam kelas inklusif di Malaysia
  • Takrifan kanak-kanak dengan keperluan khas

Bila saya meneliti kedudukan saya sekarang betapa bersyukurnya saya kerana Allah telah meletakkan saya dalam Fakulti Pendidikan Monash University, sebagai asbab untuk saya meneroka alam pendidikan di Malaysia yang memerlukan penglibatan seorang pakar psikiatri. Semoga cita-cita saya ingin melatih lebih ramai guru-guru di sekolah dan bakal guru-guru yang sedang belajar di universiti dan institut pendidikan guru dengan ilmu kesihatan mental akan tercapai. Semoga pengesanan lebih awal akan dapat dilakukan oleh guru-guru itu sendiri sebagiamana guru-guru di negara-negara maju. Semoga kerjasama yang kukuh antara semua agensi yang terlibat dalam pendidkan kanak-kanak dengan keperluan khas ini akan menghasilkan kata sepakat untuk menangani isu-isu pelajar dan guru disekolah.

Mungkin anda biasa mendengar Educational Psychologist tetapi tidak Educational Psychiatrist. Itu istilah yang saya cipta. Tapi mungkin ada baiknya saya terus mengimpikan gelaran "EDUCATIONAL PSYCHIATRIST" untuk diri saya yang akan cuba membantu sebahagian besar penduduk Malaysia yang berada di sekolah  iaitu pelajar-pelajar dan guru-guru secara amnya. Doakan saya dan mari bekerjasama dengan kami!!!

Post a Comment

Post a Comment

 
Top